PUTRAJAYA 12 Jun – Jabatan Peguam Negara pada petang ini telah menerima kertas siasatan berkaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, jabatan itu memerlukan sedikit masa untuk meneliti kertas siasatan tersebut namun mengambil maklum akan keperluan untuk meneliti perkara tersebut dengan kadar segera.
“Bagi memastikan tugas ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, saya telah menubuhkan satu pasukan untuk mengkaji kertas siasatan tersebut dengan tujuan untuk memulakan pendakwaan jenayah, jika ada, dan satu lagi pasukan lain untuk mengkaji dari sudut prosiding guaman yang berkenaan.
“Pegawai-pegawai yang akan menganggotai kedua-dua pasukan ini adalah terdiri daripada Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam-Peguam Kanan Persekutuan yang berpengalaman yang akan melaporkan hasil kajian mereka secara terus kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tommy menjelaskan, beliau juga telah menandatangani permohonan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada Switzerland, Amerika Syarikat, Perancis dan Emiriyah Arab
Bersatu.
“Saya berharap agar dapat mengambil tindakan lanjut serta menjalin kerjasama dengan pihak mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











