SHAH ALAM 27 Jun – A tuding jari pada B. B tuding jari pada C. Itu antara intipati hujahan barisan pembelaan yang mewakili warga Indonesia, Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong pada akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tidak sampai lima minit selepas memulakan hujahannya, peguam bela Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, 26, menyatakan individu yang bertanggungjawab menyerang dan menyapu racun agen saraf VX pada Jong-nam sekali gus mengakibatkan kematian lelaki itu adalah Thi Huong, 29, dan bukan anak guamnya.
Kenyataan itu menyebabkan Thi Huong yang duduk di hujung sebelah kanan kandang tertuduh terus menjeling ke arah peguam itu sebaik sahaja jurubahasa menterjemahkan perkara itu kepadanya.
Tambah Soon Seng, perbuatan itu turut diakui sendiri oleh Thi Huong dalam percakapan beramarannya.
“Tertuduh kedua (Thi Huong) dalam percakapan beramarannya mengaku telah menyapu sejenis cecair ke muka seorang lelaki di KLIA2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2). Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan seorang wanita memakai kemeja T bertulisan ‘LOL’ menyapu sesuatu ke wajah seorang lelaki.
“Perkara ini turut disokong dengan keterangan saksi pendakwaan kedua, ketiga dan keempat yang menyatakan Jong-nam memberitahu mereka, mukanya telah disapu dengan cecair oleh seseorang atau seorang wanita yang tidak dikenali,” katanya.
Menurutnya, hanya seorang yang terlibat dalam kejadian itu iaitu dan orang itu adalah tertuduh kedua (Thi Huong) apatah lagi tidak ada keterangan menunjukkan Siti Aisyah membuat sebarang serangan atau menyapu apa-apa pada Jong-nam selain kehadiran anak guamnya di KLIA2 adalah untuk merakam video mengenakan seseorang (prank).
Selain itu, tiada sebarang keterangan atau bukti yang menunjukkan terdapat kesan agen saraf VX pada mana-mana bahagian badan Siti Aisyah berbanding Thi Huong yang mana racun itu ditemukan pada keratan kuku wanita Vietnam itu.
“Ahli kimia menyatakan terdapat kesan asid ethyl methylphosphonic (EMPA) pada sehelai baju tanpa lengan yang didakwa milik tertuduh pertama. Bagaimanapun, tidak pernah dibuktikan bahawa baju tersebut benar-benar milik Siti Aisyah kerana tiada asid deoksiribonukleik (DNA) anak guam kami ditemukan pada baju itu,” katanya.
Peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Thi Houng pula berhujah, pembunuh sebenar Jong-nam adalah empat lelaki Korea Utara yang telah melarikan diri pada hari sama mangsa dibunuh dan masih bebas sehingga kini.
Empat lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, 34; Mr. Y (Ri Ji Hyon), 33; Hanamori (Ri Jae Nam), 57, dan James atau O Jong Gil, 55.
Katanya, anak guamnya tidak mempunyai sebarang niat atau motif untuk membunuh Jong-nam berbanding empat lelaki tersebut.
“Seluruh dunia tahu bahawa Korea Utara bertanggungjawab atas kematian Jong-nam. Berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, kita boleh lihat perancangan terperinci keempat-empat lelaki itu termasuk memperdayakan tertuduh kedua. Mereka juga mempunyai motif untuk berbuat demikian iaitu bermotifkan politik (political assasination),” hujah Hisyam.
Tambah peguam itu, sekiranya benar anak guamnya mempunyai niat bersama empat lelaki Korea Utara, sudah tentu Thi Houng telah melarikan diri sebaik sahaja melakukan pembunuhan itu.
Thi Huong dan Siti Aisyah didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok dengan hujahan balas oleh pihak pendakwaan.











