KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah adalah antara 15 suspek yang berjaya ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh.
Operasi tangkapan itu dilakukan di sekitar ibu kota, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah bermula 27 Mac hingga 9 Mei lalu melibatkan enam warganegara Malaysia, dua warga Filipina yang bertaraf penduduk tetap, sepasang suami isteri dari Afrika Utara, empat warga Filipina dan seorang warga Bangladesh yang kesemuanya berusia 17 hingga 51 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan terhadap pelajar berusia 17 tahun itu dilakukan di Petaling Jaya, Selangor pada 20 April lalu.
Suspek dipercayai telah menghasilkan enam molotov cocktail dan menguji salah satu daripadanya di kawasan lapang sekitar Damansara Damai, Petaling Jaya.
“Dia dipercayai merancang menggunakan molotov cocktail tersebut bagi melancarkan serangan di gereja, pusat hiburan dan kuil di sekitar ibu kota. Dia turut menjalankan tinjauan dan merakam lokasi yang menjadi sasarannya.
“Suspek juga telah merakam video amaran bagi melancarkan serangan dan memuat naik video berkenaan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram kumpulan Daesh sebelum ditahan sejam kemudian pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang wanita yang merupakan suri rumah berusia 51 tahun turut ditahan pada 9 Mei lalu di Puchong, Selangor kerana merancang untuk melancarkan serangan menggunakan kereta yang dimuatkan dengan tong gas sebagai bahan letupan bagi merempuh pengundi bukan Islam di pusat pembuangan undi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.
Mohamad Fuzi menambah, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri warga Afrika Utara yang berusia 22 dan 25 tahun yang ditahan di Gombak, Selangor pada 2 April lalu dan kedua-duanya disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa negara tersebut kerana disyaki anggota Daesh.
“Mereka telah menyusup masuk ke Malaysia pada 16 Mac lalu untuk transit sebelum berlepas ke negara ketiga.
“Pasangan tersebut telah diusir pulang ke negara asal pada 14 April lalu,” ujarnya.
Kesemua suspek ditahan atas kesalahan berkaitan keganasan dan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala tiga lagi suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. – Bernama










