KUALA LUMPUR – Seramai 64 individu yang terlibat dengan aktiviti perjudian bersempena Kejohanan Piala Dunia 2018 ditahan dalam beberapa serbuan berasingan Op Soga 17 Kuala Lumpur di sekitar ibu kota yang dilakukan bermula 15 hingga 27 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 61 serbuan peringkat pertama telah dilakukan di sekitar ibu kota sehingga membawa kepada penahanan 64 individu berusia di antara 26 hingga 65 tahun.
“Siri serbuan dengan kekuatan 15 pegawai kanan serta 40 anggota polis dalam pasukan yang ditubuhkan khas ini menyaksikan penahanan seramai 61 pemain serta tiga ejen atau lebih dikenali sebagai bookie perjudian.
“Kami turut merampas sebanyak 64 unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu tablet, beberapa keping kertas mengandungi catatan pertaruhan, jadual perlawanan serta wang tunai berjumlah RM7,245,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontonjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini semalam.
Menurut Mazlan, modus operandi sindiket perjudian tersebut adalah dengan memperkenalkan aktiviti berkenaan bermula daripada kalangan kenalan mereka.
“Seperti telah menjadi budaya, sesetengah individu akan mencari bookie melalui kenalan masing-masing setiap kali tibanya musim Piala Dunia.
“Bookie ini kemudiannya akan diperkenalkan kepada individu tersebut sebelum mereka dibenarkan membuat pertaruhan secara online,” ujarnya.
Difahamkan, wang pertaruhan seterusnya akan dipindahkan melalui tiga cara iaitu secara online, tunai atau secara terus ke nombor akaun bookie terlibat.
Tambah Mazlan, serbuan peringkat kedua pula akan dilakukan bermula 28 Jun hingga 15 Julai depan dengan jumlah anggota yang lebih besar ramai serta serbuan yang lebih kerap bagi memberi peringatan kepada kaki judi bahawa polis serius menangani gejala perjudian.
“Kami percaya serbuan peringkat kedua akan menyaksikan lebih ramai ditahan berserta nilai rampasan yang lebih tinggi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian diseru menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0649,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 16 serbuan telah dilakukan oleh IPK Kuala Lumpur di sekitar ibu kota, 27 serbuan di sekitar Cheras, tujuh serbuan di daerah Sentul, lapan serbuan di daerah Dang Wangi, dua serbuan di daerah Brickfields serta satu serbuan di daerah Wangsa Maju.- K! ONLINE











