Pasha enggan undur diri - Utusan Malaysia

Pasha enggan undur diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesibukan menyandang jawatan Timbalan Datuk Bandar Palu ada kalanya mengehadkan penglibatan vokalis kumpulan Ungu, Pasha untuk turut sama menjayakan persembahan kumpulan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, ahli Ungu yang lain iaitu Makki (bes), Oncy (gitar), Enda (gitar) dan Rowman (dram) sentiasa perlu mencari pengganti sementara Pasha sekiranya mereka mahu menerima tawaran persembahan pada hari biasa.

Posisinya digantikan dengan orang lain, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 39, sama sekali tidak berkecil hati atau menganggap ia satu isu besar.

“Demi kebaikan Ungu, saya tidak ada masalah sekiranya mereka mencari vokalis lain untuk menggantikan saya jika kami menerima tawaran persembahan pada hari bekerja.

“Sebelum ini juga, saya sentiasa memberi peluang kepada Enda dan Oncy untuk turut sama menyanyi ketika kami mengadakan konsert. Ia sebagai salah satu persediaan sekiranya saya tidak dapat menyertai persembahan.

“Namun saya tidak akan sesekali mengundurkan diri daripada Ungu. Kami tetap utuh bersama walaupun masing-masing mempunyai komitmen lain.

“Pun begitu, andainya suatu hari nanti mereka sepakat untuk mencari vokalis baharu, saya tidak akan membantah dan terima dengan hati terbuka,” ujarnya ketika ditemui pada sesi rakaman program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim pertama baru-baru ini.

Pasha tampil sebagai artis jemputan untuk program ICSYVMY. Program yang menggunakan konsep dan format asal Korea ini akan menemui penonton pada Ogos nanti menerusi saluran NTV7.

Bercerita tentang Ungu lagi, Pasha mengakui mereka sepatutnya tampil dengan single baharu. Bagaimanapun, projek tersebut belum mampu dilaksanakan memandangkan mereka tidak mempunyai waktu yang sesuai untuk memberikan komitmen tersebut.

“Sejujurnya Ungu sudah keluar dengan lagu baharu. Namun ia tidak terjadi kerana kami sangat sibuk dengan tanggungjawab lain. Kami sudah mempunyai material hanya tinggal untuk rakam sahaja.

“Saya sendiri tidak tahu bila kami akan mempunyai masa yang sesuai untuk berkumpul dan merakamkan lagu tersebut. Saya sibuk dengan tugasan politik manakala rakan Ungu lain sibuk dengan projek muzik masing-masing,” jelasnya.

Lebih setahun tidak muncul dengan lagu baharu, Pasha tidak menafikan sudah ada peminat yang bertanya mengenainya.

“Memang peminat ada bertanyakan perkara tersebut. Mereka sangat merindui lagu-lagu nyanyian Ungu. Pertanyaan mereka membuatkan kami tambah bingung mencari waktu yang sesuai untuk masuk ke studio,” katanya.

Peminat masih setia

Terlalu lama tanpa lagu baharu dan sentiasa bertukar vokalis antara situasi yang berkemungkinan peminat akan terus melupakan Ungu. Diajukan perkara tersebut, Pasha akui ia salah satu risiko yang perlu mereka hadapi.

Tambahnya, keadaan tersebut bukan sahaja dihadapi oleh Ungu sahaja malah beberapa kumpulan muzik lain juga tidak dapat lari daripada berdepan situasi yang sama.

“Itu semua adalah risiko yang perlu kami hadapi. Tetapi saya dan rakan lain amat bersyukur kerana peminat masih setia bersama Ungu.

“Sebenarnya bukan Ungu sahaja yang tiada single baharu tetapi semua kumpulan muzik lama di Indonesia turut melalui perkara yang sama.

“Kami perlu bersaing dengan pemuzik yang mencipta nama menerusi media sosial tanpa perlu terikat dengan syarikat pengurusan dan rakaman,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini