BUKIT MERTAJAM – Tindakan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah membawa teman wanitanya untuk menghantar bekalan bahan terlarang itu kepada pembeli bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berjaya dihidu polis selepas mereka ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan sepasukan polis mengekori kereta dinaiki pasangan kekasih itu sebelum menahan mereka di Jalan Baru di sini pada pukul 2.30 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas lelaki berumur 26 tahun itu tidak menemui sebarang dadah namun pemeriksaan lanjut di dalam kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka, polis menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM12,585.
“Antara dadah yang dirampas ialah heroin seberat 174.6 gram (g), methamphetamine (52.10g) dan ganja sebanyak 265.2g. Semua dadah itu dipercayai untuk dihantar kepada pembeli di Bukit Mertajam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, wanita berumur 22 tahun itu mendakwa tidak mengetahui teman lelakinya membawa dadah untuk dihantar kepada pembeli dan dia hanya keluar bersama untuk ke sebuah pasar raya. – Bernama











