KANGAR – Pas Perlis menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan sebagai solusi menyelesaikan kemelut dan krisis pelantikan Menteri Besar yang telah berlarutan lebih tiga minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, setakat ini, pihaknya tidak nampak wujudnya sebarang jalan penyelesaian isu itu melainkan kelihatan semakin meruncing.
Katanya lagi, tindakan terbaharu Barisan Nasional (BN) Perlis menghantar 11 nama calon Menteri Besar adalah tidak wajar kerana Datuk Seri Azlan Man telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menjawat jawatan itu.
“Pas Perlis mencadangkan supaya diadakan kerajaan perpaduan demi masa depan negeri dan rakyat keseluruhannya.
“Kami tidak menuntut sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri dan menasihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak juga menuntut jawatan Menteri Besar kerana sudah diperkenankan Raja Perlis,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya lagi, perkara yang lebih penting ialah menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin supaya kerajaan negeri dapat dibentuk seterusnya berkhidmat kepada rakyat.
Kosmo! melaporkan pada 24 Mei lalu, pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk jawatan Menteri Besar di Istana Arau, Arau dekat sini tidak dihadiri sembilan ADUN BN.
Kesemua ADUN itu sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menerima pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar.
Terbaharu, BN negeri akan mempersembahkan nama 11 orang wakil rakyat parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu semasa menghadap Tuanku Syed Sirajuddin yang dijangka minggu depan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perlis. – K! ONLINE










