KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas wanita antara 10 individu yang dikesan positif dadah dalam Ops Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Wanita berusia 44 tahun itu ditahan di Terminal Bas Klang, Selangor susulan operasi bersepadu dilakukan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap pemandu bas di seluruh negara.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Abdul Halim Mohd. Hussin berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis syabu.
“Sembilan pemandu lagi didapati positif dadah jenis heroin, ganja serta syabu.
“Kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 56 tahun itu ditahan dalam operasi yang sama di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini semalam.
Kesemua 10 pemandu bas ini akan diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dadah 1983, selain lesen memandu mereka digantung.
Tambah Halim, sebanyak 2,624 saringan air kencing telah dilakukan dalam operasi tersebut yang bermula pada 8 Jun lalu sehingga Ahad ini.
“Operasi dilakukan untuk memastikan semua pemandu bas tersebut bebas daripada pengaruh dadah demi keselamatan penumpang pengangkutan awam,” ujarnya.










