SARANSK, Rusia 29 Jun – Panama menamatkan penampilan pertama mereka dalam Piala Dunia dengan tewas semua perlawanan peringkat kumpulan malah menjadi pasukan terbanyak dibolosi dan hanya sedikit gol berjaya dihasilkan.
Jurulatih Panama, Hernan Gomez yang berbangga dengan pencapaian pemainnya berang apabila skuad kendaliannya itu dilabel sebagai pasukan terburuk di Rusia apabila menegaskan Panama yang menduduki tangga ke-55 dunia berani memberikan saingan walaupun berdepan kekurangan dalam persiapan.
“Anda tidak menunjukkan rasa hormat. Anda tidak sepatutnya menggelarkan kami sebagai pasukan terburuk. Kami pasukan termuda yang terpaksa berdepan pelbagai kesukaran.
“Berapa banyak padang bola sepak yang kami ada? Apakah infrastruktur yang kami miliki? Lihat kepada sejarah negara lain…Anda sepatutnya menunjukkan rasa hormat kepada pasukan kami,” tegas Gomez.
Selepas tewas 0-3 dan 1-6 kepada Belgium dan England, Panama terlebih dahulu mengatasi Tunisia dan hampir melakar kemenangan pertama mereka dalam Piala Dunia meskipun sudah tersingkir awal.
Bagaimanapun, Tunisia bangkit apabila meledak dua gol di babak kedua sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan G.
Ditanya mengenai masa depannya, jurulatih kelahiran Colombia itu berkata, dia bangga dengan kejayaannya memimpin Panama menyertai Piala Dunia 2018, namun mengakui menerima tawaran lain dan memerlukan masa untuk membuat keputusan. – REUTERS










