SOCHI, Rusia – Peluang juara bertahan Jerman untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA masih terbuka selepas menewaskan Sweden 2-1 pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Fisht, Sochi, Rusia sebentar tadi.
Namun kejayaan itu tidak datang dengan mudah apabila skuad kendalian Joachim Loew dipaksa berhempas pulas sebelum bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menyamakan kedudukan menerusi Marco Reus sebelum menjamin mata kemenangan hasil jaringan perancang Real Madrid, Toni Kroos pada minit kecederaan babak kedua.
Sweden yang kerap dilabel sebagai pasukan ‘pengacau’, memberi tentangan hebat kepada pasukan No. 1 dunia itu dengan permainan yang menarik serta penguasaan bola yang cemerlang sehingga menyukarkan Jerman.
Skuad biru-kuning itu mendahului 1-0 pada babak pertama sebelum dan banyak kali berpeluang untuk menewaskan Jerman dalam beberapa situasi sepanjang permainan sebelum Jerman mula mempamer kebangkitan luar biasa di babak kedua.
Hasrat Jerman memburu kejuaraan kelima bagi menyamai pencapaian Brazil dalam kempen Piala Dunia mula tersentak seketika apbila tewas mengejut kepada Mexico 0-1 pada aksi pertama.
Skuad Die Mannschaft itu turun menentang Sweden dengan misi mencatat kemenangan pertama bagi mencerahkan peluang ke pusingan kedua, sekali gus mengelak daripada menjadi mangsa sumpahan Piala Dunia di mana juara bertahan akan tersingkir awal seperti dialami Sepanyol, Itali dan Perancis pada edisi-edisi sebelum ini.
Sementara Sweden pula yang memulakan kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan, turut memburu tiga mata bagi mengiringi Mexico ke pusingan kedua sekiranya menang pertemuan ini.
Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan sejak dari awal permainan dengan Jerman memiliki lebih banyak peluang menerusi Thomas Muller dan Timo Werner yang gagal menepati sasaran.
Namun, Sweden yang beraksi lebih tenang terlebih dahulu membuat kejutan apabila mendahului 1-0 hasil jaringan Ola Toivonen yang mengambil peluang di atas kesilapan Kroos untuk meloloskan diri sebelum menewaskan penjaga gol Manuel Nuer pada minit ke-32.
Gol tersebut mula memberi keresahan kepada Jerman yang terus mengasak mencari gol penyamaan, namum nasib masih belum menyebelahi mereka.
Jerman mula bangkit pada babak kedua apabila pemain gantian Marco Reus menyamakan kedudukan pada minit ke-47 hasil gerakan Werner di sebelah kanan pintu gol Jerman.
Selepas gol penyamaan itu, Jerman terus menguasai permainan dan menjana serangan serta asakan bertali arus sehingga memaksa Sweden berkampung di depan pintu gol mereka.
Nasib mereka kemudian dilihat berubah selepas pemain pertahanan Jerome Boateng diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana melakukan terjahan keras terhadap penyerang Sweden, Bjorn Berg.
Beraksi dengan sepuluh pemain menyukarkan Jerman untuk mencari gol kemenangan manakala Sweden pula kembali mengawal permainan sehingga tamat masa sebenar permainan.
Namun, tatkala keputusan dilihat seperti berakhir dengan seri, muncul Kroos yang merembat masuk bola dari luar kotak penalti, sekali gus menyelamatkan maruah Jerman yang hampir tersingkir awal meskipun mempunyai satu lagi baki permainan.
Kemenangan ini memberi tiga mata berharga buat Jerman untuk berkongsi kedudukan dengan Sweden, sekali gus menjadikan perlawanan terakhir dengan Korea Selatan nanti sebagai misi hidup dan mati mereka.
Bagi Sweden pula, ia bagaikan satu peluang baik yang direntap begitu saja dan kini terpaksa mencatat kemenangan ke atas pendahulu, Mexico sambil mengharapkan Jerman dikejutkan Korea Selatan. – K! ONLINE










