KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.
Barangan yang diambil dari enam premis iaitu di Kompleks Seri Perdana dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tiga di Pavilion Residences dan satu di Jalan Langgak Duta di sini.
“Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.
“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar penilaian dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota,” tambah beliau.
Beliau menambah, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.
“Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.
“Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, brooch (kerongsang) 1,600 unit, tiara 14 unit.
“Barang paling berharga adalah seutas rantai emas, white diamond (berlian putih) berharga RM6.4 juta,” katanya.
Amar Singh berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta.
Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama termasuk yang ditempah khas.
“Rampasan ini merupakan antara yang terbesar dalam sejarah negara ini,” ujarnya.
Kosmo! pada 26 Mei lalu melaporkan polis mengambil masa selama tiga hari untuk melakukan pengiraan wang tunai di dalam 35 bagasi yang berjumlah RM114 juta
Semua wang tunai termasuk Ringgit Malaysia dan 25 mata wang asing disimpan dalam 35 daripada 72 bagasi yang dirampas di Pavilion Residences, Jalan Bukit Bintang pada 16 dan 17 Mei lalu. – K! ONLINE











