KAJANG – Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dan dalam keadaan bogel dijumpai di belakang sebuah restoran di rumah kedai di Pusat Hentian Kajang dekat sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, bayi tersebut ditemui pemilik restoran pada pukul 5 petang selepas dia terdengar bunyi objek jatuh dari tempat tinggi.
“Pemeriksaan di belakang restoran miliknya menjumpai seorang bayi lelaki dalam keadaan bogel tetapi masih bernyawa di atas jalan berdekatan besi-besi pembinaan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, bayi berkenaan terus dihantar ke sebuah klinik berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Kajang.
“Bayi itu masih dirawat di Wad Rawatan Rapi dan keadaannya masih kritikal,” jelas beliau.










