MELAKA – Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah disenaraikan dan dijangka diumumkan pada 28 Jun ini.
Menurut Adly, terdapat dua nama telah disenarai pendek bagi jawatan tersebut dan pemilihannya akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
“Setakat ini ada dua nama (Speaker). Kita akan bawa nama-nama tersebut dalam Mesyuarat Exco pada Rabu dan umumkannya pada Khamis (28 Jun),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Adly memberi bayangan individu yang dilantik ke jawatan tersebut adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang politik bersama Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, lebih 25,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula pada pukul 8 malam.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta barisan Exco kerajaan negeri. – K! ONLINE










