Najib tarik balik saman terhadap Harakah - Utusan Malaysia

Najib tarik balik saman terhadap Harakah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Bekas Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman fitnah beliau di Mahkamah Tinggi di sini  terhadap lidah rasmi Pas, Harakah dan  Harakahdaily berhubung isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Nor Emelia Mohd. Iszeham memberitahu pemberita selepas prosiding di hadapan  Hakim Datuk Hue Siew Kheng di kamar hakim di sini,  saman itu ditarik balik  tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan baharu.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud  hadir mewakili Pengarah Urusan Harakah, Dr. Rosli Yaakob dan Ketua Editor Harakahdaily, Taufek Yahya.

Pada 18 Mac 2015, Najib memfailkan saman terhadap Rosli dan Taufek kerana menerbitkan artikel  bertajuk, ‘Da­na 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz?’.

yang didakwa memfitnah mengenai 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Februari tahun yang sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata artikel itu menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.

Bekas Perdana Menteri berkata kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau.

Ini merupakan saman yang ketiga ditarik balik oleh Najib selepas tindakan serupa diambil dalam kes saman beliau  berhubung isu 1MDB masing-masing terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Liong Liong Sik dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua  Kiam Wee. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN