Musa tidak layak arah peguam besar negeri campur tangan isu Petronas - Utusan Malaysia

Musa tidak layak arah peguam besar negeri campur tangan isu Petronas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 11 Jun – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Tan Sri Musa Aman tidak berada di kedudukan sepatutnya untuk mengarahkan peguam besar negeri membuat permohonan bagi kerajaan Sabah campur tangan dalam isu tuntutan undang-undang Petronas berkaitan pemilikan ke atas sumber petroleum negara.


Datuk Seri Shafie Apdal

Beliau berkata Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga bukan lagi ketua menteri Sabah.


Mohd Shafie berkata beliau telah mengarahkan peguam besar negeri untuk mendengar dan mengikuti perkembangan tuntutan undang-undang Petronas itu bagi memastikan Sabah mengetahui apa yang sedang berlaku memandangkan negeri ini turut mempunyai kepentingan yang sama dengan Sarawak.


Menurutnya, kerajaan negeri Sabah akan mengambil pendekatan lain dalam mengendalikan isu terbabit.


“Apa yang penting, saya telah menyatakan kepentingan kita (Sabah) dan menjelaskannya kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan beberapa kepimpinan tertinggi dalam Pakatan Harapan.


“Adalah cukup jelas apa yang diinginkan oleh rakyat Sabah. Saya hanya ingin menuruti kehendak apa yang (rakyat) Sabah mahu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.


Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita mengenai Musa mengarahkan peguam besar negeri membuat permohonan bagi kerajaan negeri untuk campur tangan dalam isu tuntutan undang-undang Petronas berkaitan pemilikan terhadap sumber petroleum negara.


Musa dalam kenyataan itu juga berkata ini bagi melindungi hak Sabah terhadap sumber minyak dan mineral di negeri itu. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN