PONTIAN 27 Jun – Pengunjung yang datang ke bandar Pontian barangkali terkilan jika tidak menikmati murtabak hasil tangan Abdul Hamid Abu, 62, atau lebih dikenali sebagai Pak Hamid.
Lebih dikenali sebagai Hamid Murtabak adalah nama yang cukup sinonim buat penduduk Pontian.
Dia sudah bertapak lebih 40 tahun apabila memulakan perniagaan pada 1978 di sebelah bangunan Tabung Haji sebelum berpindah ke lokasi baharu di Pasar Peladang Pontian sampai sekarang.
Mula mempelajari membuat murtabak pada usia belasan tahun di Singapura pada 1965. Pak Hamid kemudian membuka perniagaan secara sambilan pada sebelah petang selepas habis waktu bekerja dengan Majlis Daerah Pontian (MDP).
Selepas bersara daripada MDP, dia memulakan perniagaan di Pasar Peladang Pontian pada waktu pagi dan di Medan Selera Tepi Laut pada waktu petang hingga habis murtabak dijual.
Itulah rutin Pak Hamid hingga kini iaitu berniaga murtabak sepenuh masa.
Menurutnya, kerja-kerja menyediakan bahan membuat murtabak seperti menguli tepung, mengisar daging, memotong bawang dilakukan pada awal pagi sebelum berniaga di sebelah petang.
“Saya juga ada membuat murtabak di rumah sebelum ini tetapi setelah beroperasi pada waktu pagi dua bulan lalu di Pasar Peladang, pembeli terus membuat tempahan selain menikmati sarapan pagi di kedai saya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, murtabak dijual dengan beberapa harga seperti murtabak special berharga RM10 manakala murtabak besar (RM8), murtabak sedang (RM5) dan murtabak kecil (RM3).
“Kelainan murtabak kami ialah adunan daging bersama-sama rempah, telur dan bawang yang diletakkan dalam setiap lapisan murtabak menjadikannya tarikan utama pelanggan.
“Pelanggan juga boleh melihat kerja-kerja mengoreng murtabak dilakukan yang pastinya menimbulkan aroma tersendiri kepada peminat makanan ini,” jelasnya.
Bagi mengekalkan kualiti murtabaknya, beliau akan memastikan segala bahan yang disediakan mencukupi begitu juga dengan harga murtabak yang dijual masih kekal seperti dahulu.
Pak Hamid berkata, murtabaknya selalu menjadi ‘buah tangan’ kepada ibu bapa yang melawat anak-anak mereka di Kuala Lumpur dengan menempahnya pada waktu pagi untuk dibawa ke sana.
“Begitu juga mereka yang bermesyuarat, berkursus atau menghadiri program-program rasmi di Pontian tidak lupa membeli murtabaknya sebagai ole-ole untuk keluarga di rumah,” ujarnya.
Bagi memastikan legasi Murtabak Hamid terus berpanjangan, beliau kini mempunyai pewaris yang mahir membuat murtabak termasuk menebar dan mengoreng sepertimana Pak Hamid.
Anak-anaknya, Rodiah, 32, dan Rohanizah, 28, diberikan tanggungjawab menguruskan perniagaan pada waktu petang bagi memberikan peluang kepada ayahnya untuk berehat.
Rodiah dan adiknya diajar serta didedahkan cara-cara menguli tepung, membuat ramuan selain mampu menebar roti dengan baik mengikut tunjuk ajar ayahnya.
“Turut membantu perniagaan ialah suami Rodiah iaitu Mohd. Yazid Mustafa, 28, yang juga boleh menebar roti canai selain mahir mengoreng murtabak,” kata Pak Hamid yang mempunyai lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki hasil perkahwinan dengan Latifah Saion, 58.
Katanya, satu-satu anak lelakinya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Ibu pejabat Daerah Polis (IPD) Pontian juga berkebolehan menebar roti canai tetapi disebabkan tugas harian hanya membantu pada hujung minggu.
Bagi memudahkan pelanggan menempah murtabaknya, beliau menerima tempahan melalui telefon terutama pada bulan puasa memandangkan permintaan tinggi sehingga 180 keping dalam sehari.
Pada hari-hari biasa, beliau dan anak-anaknya mampu menjual 80 hingga 100 keping murtabak pelbagai saiz termasuk mereka yang ingin menikmatinya di kedainya.
“Sekiranya ketika berkunjung ke bandar Muar pada waktu pagi, sate dan mee rebus menjadi juadah sarapan tetapi di bandar Pontian, cubalah murtabak Hamid untuk sarapan,” ujarnya.











