SHAH ALAM – KUB Malaysia Bhd. (KUB) menjangkakan untuk memuktamadkan pelupusan keseluruhan pegangannya dalam A&W (Malaysia) Sdn. Bhd. (A&W Malaysia) menjelang akhir tahun ini.
Menurut Presiden dan Pengarah Urusan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin, ketika ini terdapat di antara 10 hingga 11 syarikat tempatan dan antarabangsa telah menyatakan minat untuk mengambil alih rangkaian restoran makanan segera berkenaan.
“Cadangan penjualan A&W telah timbul sejak lebih tiga tahun lalu, namun sehingga kini kami masih belum menemui pembeli yang bersesuaian ekoran pelbagai faktor termasuk penilaian jualan dan terma pembayaran termasuk soal caj pemindahan pegangan dan sebagainya.
“Ini kerana ada syarikat yang tidak mahu membayar caj itu, malah ada juga yang bercadang untuk membayar separuh.
“Oleh itu, kami masih mencari pembeli yang mampu menawarkan kadar dan terma pembayaran yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 KUB di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.
Abdul Rahim menjelaskan, kebiasaannya nilai jualan ialah sekitar 10 kali ganda daripada penilaian aliran tunai syarikat terbabit,” katanya.
Selain itu, meskipun syarikat bercadang untuk menjual pegangan A&W kepada pelabur lain, tetapi KUB akan terus memperluaskan perniagaan restoran makanan segera itu di Semenanjung Malaysia.
Ini adalah kerana KUB perlu memenuhi perjanjian lanjutan francais setiap tiga tahun yang dimeterai sebelum ini.
“Kami menjangka untuk membuka sekurang-kurangnya enam buah restoran sehingga akhir tahun ini dengan setiap cawangan melibatkan pelaburan sebanyak kira-kira RM600,000 hingga RM700,000, bergantung kepada saiz dan lokasi cawangan,” ujarnya.
Dilaporkan, di bawah perjanjian francais dengan francaisor utama A&W, A Great American Brand LLC sehingga Jun 2019, KUB perlu membuka 25 cawangan baharu A&W dalam tempoh tiga tahun, menjadikan kepada 52 buah cawangan menjelang akhir 2019.
Setakat ini terdapat 40 buah cawangan A&W, yang mana rangkaian ke-41 akan dibuka di Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Sektor makanan KUB yang diwakili A&W Malaysia menyumbang sebanyak 10.5 peratus kepada perolehan KUB bagi tahun 2017 dengan perolehan meningkat sebanyak 34.1 peratus kepada RM62.9 juta berbanding RM46.9 juta tahun sebelum.











