KUALA LUMPUR 31 Mei – Sambutan Ramadan tahun ini jelas memberi ujian besar buat penduduk di sekitar Kulim apabila terpaksa berhadapan dengan bencana banjir kilat akibat hujan lebat beberapa hari kebelakangan ini.
Akibat situasi buruk itu, Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Kedah tampil meneruskan misi bantuan terhadap mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas di sekitar Kulim.
Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, mangsa banjir di kawasan terbabit kini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan.
“Sehingga kelmarin, dianggarkan hampir 139 keluarga masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan di sekitar daerah Kulim dan ada juga beberapa pusat pemindahan sudah ditutup kerana ada mangsa yang sudah pulang ke rumah.
“Oleh itu, MRA cawangan Kedah segera melakukan tinjauan di samping menyalurkan sumbangan awal berupa kit kebersihan diri seperti tuala, sabun, berus gigi dan beberapa peralatan lain bagi mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Misi Banjir MRA Kedah, Ramlah Md. Salleh, berkata, kit kebersihan itu adalah langkah awal yang dilaksanakan oleh pihaknya selepas mendapat tahu ada mangsa di pusat pemindahan.
“MRA Kedah akan melakukan tinjauan susulan bagi membantu mangsa pasca banjir di Kulim,” katanya.
“Kami merayu rakyat Malaysia dan penyumbang di luar sana untuk terus membantu MRA Kedah dengan menyalurkan bantuan apatah lagi dalam suasana bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 5520 5969 7628 atas nama Malaysian Relief Agency atau hubungi 016-6186514 (Dr. Saifullah Halim Al Hany).









