KUANTAN 24 Jun – Calon Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berikrar untuk tetap memberi komitmen dalam meneruskan fitrah perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO di bawah kepemimpinan yang telah dipilih bagi sesi 2018 – 2021.
![]() |
|
Mohd. Shahar Abdullah
|
Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kerana dipilih oleh perwakilan untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO baharu, Ahli Parlimen Paya Besar berkenaan berkata, beliau menerima keputusan pemilihan parti kali ini dengan penuh perasaan tanggungjawab.
“Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada saf kepemimpinan baharu demi kelangsungan parti keramat UMNO yang kita cintai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Shahar, beliau akan meneruskan agenda mendekati anak muda dengan penuh kepatuhan dan semangat yang tinggi bagi memastikan suara golongan berkenaan dalam parti itu terus memberikan impak kepada kepenmimpinan UMNO.
“Tanggungjawab dan amanah telah diberikan kepada kita sama ada mewakili parti atau rakyat perlu diterus dan diperjuangkan.
“Roh perjuangan UMNO wajib dihidupkan dan disegarkan kembali bagi meniupkan semangat yang baharu dalam kita menjadi wakil yang berwibawa kepada ahli dan rakyat Malaysia amnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE












