KUALA LUMPUR 1 Jun – Pengelola Jemaah Haji (PJH), MKM Ticketing Travels & Tours (MKM) menafikan dakwaan syarikat tersebut menipu beberapa orangdaripada jemaah Haji Furada atau haji orang kenamaan (VIP) pada musim haji tahun lalu.
Pengurus haji MKM, Humaidi Mat Jahaya berkata, syarikat tersebut tidak melakukan sebarang penipuan malah memenuhi segala yang dijanjikan kepada semua jemaah yang mengambil pakej berharga RM70,000 dan RM90,000 berkenaan.
Sebaliknya beliau berkata, apa yang berlaku adalah berpunca daripada salah faham mengenai perkhidmatan yang ditawarkan yang mana kesemua khidmat tersebut telah diperjelaskan disahkan tiada unsur penipuan oleh pihak berwajib.
Tambah beliau, pihaknya juga telah bertemu dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk memberikan penjelasan serta mengemukakan bukti-bukti bagi membersihkan nama syarikat.
Dalam pertemuan berkenaan wakil MKM telah menjelaskan dan memberikan bukti-bukti untuk menyangkal dakwaan yang dibuat dan PPIM juga bersetuju bahawa apa yang berlaku berpunca daripada salah faham.
“Justeru, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan telah mencadangkan untuk diadakan satu pertemuan empat mata antara MKM dan pengadu yang mana PPIM akan bertindak sebagai pemudahcara bagi menyelesaikan isu yang berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menyentuh isu sama, PPIM dalam satu siaran media yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya memaklumkan, pertemuan berkenaan telah di adakan di ibu pejabat persatuan pada petang Rabu.
Kenyataan tersebebut melaporkan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan sebagai berkata, pihaknya akan menganjurkan dan memudah cara satu pertemuan pada satu tarikh di minggu hadapan.
Beliau dalam masa sama menjelaskan, pertikaian berkenaan sebenarnya berpunca daripada penggambaran dan penerimaan persepsi yang berbeza di kedua belah pihak.
Justeru saya menyarankan agar semua pihak bertenang sehingga pertemuan antara kedua belah pihak yang terlibat.
“Saya juga berharap tidak ada lagi pihak yang membuat dakwaan bahawa syarikat PJH melakukan sebarang penipuan dan memberi ruang kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini secara baik,” kata beliau selepas pertemuan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










