MOSCOW – Kapten Argentina, Lionel Messi mengakui bertanggungjawab atas kegagalan pasukan itu meraih tiga mata ketika seri 1-1 menentang Iceland pada aksi Kumpulan D di Stadium Spartak malam kelmarin.
Messi berpeluang untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong-penyokong Argentina, namun sepakan penalti bintang Barcelona itu pada minit ke-64 berjaya diselamatkan penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson.
Justeru, dia mengaku bertanggungjawab atas keputusan tersebut selain kecewa kerana gagal membantu pasukannya memulakan kempen Piala Dunia di Rusia dengan langkah kanan.
“Sudah tentu amat mengecewakan kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti kerana ia mampu beri kelebihan kepada kami. Saya bertanggungjawab atas kegagalan kami meraih tiga mata pada hari ini (kelmarin).
“Walaupun seri, namun ia langsung tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang. Kami sepatutnya menang tetapi benteng pertahanan Iceland nyata memberi kesukaran kepada kami,” kata Messi.
Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu juga menegaskan, keputusan tersebut tidak akan jadi penghalang buat mereka dalam melakukan persiapan terbaik menjelang aksi seterusnya bertemu Croatia dan Nigeria.
“Keputusan ini bukanlah penghalang untuk kami memburu kejayaan. Kami ada waktu rehat beberapa hari sebelum perlawanan seterusnya. Harus diakui saingan Piala Dunia kali ini tidak sama seperti dahulu kerana banyak pasukan sudah tunjukkan peningkatan,” ujarnya. – Agensi










