“APAKAH ibu negara Finland?’’. Lalu dijawab “Helsinki!” Masih ingatkah dialog antara seorang kanak-kanak ketika diajukan soalan tersebut oleh ibunya dalam satu iklan komersial?
Jawapan yang diberikan tepat. Tetapi ia bukanlah penyebab utama penulis ke negara tersebut dan ia hanya kebetulan semata-mata selepas tiket ke Moscow, Rusia dibatalkan syarikat penerbangan atas sebab-sebab tertentu.
Finland atau digelar Suomi dalam bahasa negara itu terletak berdekatan Rusia, Sweeden dan Norway. Ia mempunyai penduduk kira-kira enam juta orang dengan keluasan 140,000 kaki persegi.
Jarak penerbangan yang diambil dari Kuala Lumpur adalah kira-kira hampir 18 jam termasuk persinggahan di Amsterdam, Belanda (bergantung kepada syarikat penerbangan).
Negara yang menggunakan mata wang Euro ini sebenarnya agak mahal terutama dari segi kos penginapan dan makanan. Penulis terpaksa membayar sewa sebuah hostel kira-kira 50 Euro (hampir RM250) semalam sebelum terpaksa menyewa Airbnb yang hampir separuh lebih murah.
Itu belum lagi dikira dengan kos makanan di sana iaitu lebih kurang antara 12 hingga 15 Euro untuk sekali makan (street food). Oleh itu sudah tentu pilihan terbaik adalah memasak sendiri.
Namun apa yang menarik di negara ini adalah keunikan makanannya yang tersendiri. Jika anda ke pasar atau di Helsinki, jangan terkejut melihat deretan daging beruang yang dipek di dalam tin.
Malah daging rusa begitu mudah didapati seolah-olah menjadi makanan ruji penduduk di sana di samping ikan salmon.
Kebanyakan penduduk di sini juga lebih ramah dan mudah didekati terutama jika anda berkunjung di kafe atau bar-bar di sekitar bandar tersebut.
Dalam pada itu, antara kawasan tumpuan di Helsinki adalah ‘Senate Square’ dan juga ‘Helsinki Cathedral’ yang menjadi pilihan pelancong terutamanya dari Rusia. Maka tidak hairanlah anda seakan-akan berada di negara tersebut dengan bahasa mereka yang rata-rata dituturkan di kawasan ini.
Penulis juga turut berpeluang melawat kubu yang digelar ‘Fotress of Suomenlina’. Pengunjung perlu menaiki feri berharga 5 Euro untuk ke sini. Tempat ini merupakan kubu bagi tentera Sweeden, Rusia serta Finland suatu ketika dulu.
Anda boleh melihat beberapa meriam yang ditempatkan di sini di samping bangunan yang merupakan tempat pertahanan tentera untuk ketiga-tiga negara tersebut.
Sementara itu, kedudukan terminal feri yang berdekatan dengan Helsinki Market Square juga merupakan peluang terbaik jika anda mahu melihat kehidupan dan budaya penduduk negara berkenaan membeli belah di pasar tersebut.
Di samping itu, pelbagai barangan cenderamata murah boleh didapati di sini selain hasil laut terutama smoked salmon.
Negara ini juga lebih mesra kepada masyarakat Muslim. Penulis perhatikan masyarakat di sini dapat menerima kehadiran pendatang dari Somalia dan beberapa negara Afrika untuk tinggal bersama.
Oleh itu makanan halal sudah tentu tidak menjadi masalah. Begitu juga dengan pengangkutan awam serta keselamatan. Ada baiknya jika terus ke Estonia, Rusia, atau negara Scandinavia seperti Sweeden selepas datang ke sini.
Satu lagi yang boleh dikongsi oleh penulis. Pastikan anda membawa wang yang secukupnya!









