KOTA TINGGI 31 Mei – Jika ingin menikmati suasana tenang di perkampungan tradisional, mungkin lawatan ke Kota Tinggi ada jawapan yang paling ideal.
Ini kerana Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dengan beberapa pihak yang berkaitan kini giat mempromosikan sektor pelancongan di sekitar wilayah kendaliannya, khususnya di tiga perkampungan tradisional iaitu Kampung Linting, Johor Lama dan Panchor, dekat sini.
Menerusi program ‘Day Trip Tourism Kejora’ (DTTK) yang menawarkan pakej berkumpulan, para pelancong boleh menikmati keindahan alam semula jadi, melihat kesan peninggalan sejarah dan pembuatan produk kraf tangan serta menyelami kehidupan masyarakat setempat.
Malah, Kejora memperkenalkan pakej DTTK untuk berkongsi ilmu menerusi sektor pelancongan pendidikan (edu-tourism) bagi membuka minda peserta mahupun pengunjung mengenai pelbagai produk yang ditawarkan.
Pembantu Tadbir Bahagian Pelancongan Kejora, Muhammad Hafiz Aziz berkata, para pengunjung akan dibawa menjelajah bermula dari Muzium Nelayan Tanjung Balau, Desaru yang satu-satunya muzium menyimpan dan mempamerkan pelbagai khazanah golongan nelayan tradisional seperti sampan, jaring, pancing dan bubu.
“Kompleks muzium ini mempunyai empat galeri tambahan, iaitu Galeri Geologi, Galeri Keselamatan Laut, Galeri Kapal Karam Desaru dan Galeri Pameran Khas.
“Apabila memasuki kawasan perkampungan tradisional, pengunjung akan dapat menikmati suasana kampung serta ketenangan berada di kampung seterusnya melihat dan menjejaki sendiri kesan sejarah pemerintahan Kesultanan Melayu Johor suatu ketika dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sambil menikmati suasana kampung yang tenang, para pengunjung juga boleh menyaksikan pembuatan pelbagai produk kraf tangan oleh penduduk.
Dalam pada itu, Penolong Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Sheh Khayul Zahri Sh. Raof berkata, Kejora kini giat mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di dalam wilayahnya menerusi platform media sosial dan aplikasi mudah alih.
Menurutnya, langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan khususnya wilayah Kejora ke arah ekonomi digital.
“Dalam usaha mencapai prestasi, penggunaan internet dan pemasaran secara dalam talian berkaitan pelancongan akan menjadi saluran utama untuk memasuki pemasaran.
“Biarpun pemasaran digital digunakan secara meluas, namun kami masih menyediakan pemasaran secara terbuka kerana masih relevan dalam industri pelancongan,” katanya.










