Melaka United bangkit tewaskan PKNP FC 2-1 - Utusan Malaysia

Melaka United bangkit tewaskan PKNP FC 2-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) sekali lagi dihukum pada minit-minit akhir perlawanan apabila tewas mengejut 1-2 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Awal babak pertama, PKNP FC terlebih dahulu mengasak gawang pasukan pelawat apabila pemain tengahnya, Mohamad Hafiz Ramdan melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol namun dinafikan penjaga goal Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka United tidak berdiam diri dan melakukan serangan balas dua minit kemudian namun tandukan pemain importnya Lee Changhoon sekadar melepasi gawang PKNP FC selepas dia mendapat umpanan daripada R. Goponathan.

Kedua-dua pasukan terus melakukan asakan terhadap pasukan lawan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua pasukan tuan rumah terus mengasak Melaka United dan mencari peluang bagi mendapatkan jaringan pembukaan.

Usaha tersebut berhasil mendapatkan gol apabila Kapten PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi meledakkan gol pertama perlawanan selepas menyempurnakan hantaran daripada rakan sepasukan, Hafiz pada minit ke-56.

Jaringan tersebut bagaimanapun hanya bertahan sembilan minit apabila pemain penyerang Melaka United, Lee merembat bola terus ke gawang PKNP FC dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Asakan demi asakan oleh kedua-dua pasukan dilakukan namun masing-masing tidak berjaya menghasilkan jaringan.

Anak buah E. Elavarasan bagaimanapun bersorak kegembiraan apabila usaha mereka mendapatkan jaringan kemenangan berhasil selepas pemain importnya, Ifedayo Olusegun Jeon mudah menanduk masuk bola ke gawang PKNP FC pada minit ke-90 sekali gus berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke Melaka.

Keputusan 1-2 tersebut kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN