MC, kes ponteng kerja meningkat - Utusan Malaysia

MC, kes ponteng kerja meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – ‘Demam’ bola sepak sempena Piala Dunia kali ini berjaya menarik minat pelbagai golongan masya­rakat seluruh dunia tanpa mengira latar belakang individu.

Malah ada yang sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata minat terhadap sukan tersebut walaupun individu berkenaan bukanlah warganegara pasukan yang bertanding.

Namun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, apa yang membimbangkan, prestasi pekerja dilihat agak merosot pada ketika ini terutama dalam aspek kehadiran.

Tegasnya, jumlah pekerja yang mengambil sijil cuti sakit (MC) juga bertambah ketika musim Piala Dunia 2018.

“Kita pernah membuat kajian membabitkan acara terbesar sebelum ini. Jika membabitkan perlawanan penting waktu pagi, jumlah MC me­ningkat berbanding hari biasa.

“Apa yang mendukacitakan, ada pula yang ponteng kerja sehingga menjejaskan produkti­viti syarikat. Ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebanyak 32 pasukan layak ke Piala Dunia di Rusia kali ini dengan penyertaan daripada 14 negara Eropah; Amerika Selatan (5); Afrika (5); Amerika Tengah (3) dan Asia (5).

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Se­kerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, masalah berkaitan produktiviti pekerja yang merosot ketika musim Piala Dunia merupakan satu masalah serius.

“Pihak kami mendapati jumlah surat amaran dan pekerja yang dipanggil untuk sesi kaunseling turut meningkat gara-gara acara ini. Kami sememangnya tidak berkuasa untuk menentukan gaya hidup atau jadual seseorang pekerja

“Tetapi mereka harus ingat, ia membabitkan ‘periuk nasi’ sendiri dan jangan sampai ada tindakan tegas diambil hanya disebabkan Piala Dunia,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN