KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr. Idris Ahmad mendakwa beliau merupakan satu-satunya calon dipersetujui oleh empat komponen parti Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebelum Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik memegang jawatan tersebut pada 11 Mei lalu susulan kemenangan gabungan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Idris mendakwa, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor selepas PH menang pada PRU-14, ‘tanpa restu’ daripada mana-mana komponen parti berkenaan.
Dakwa Idris, 71, beliau mendapat sokongan majoriti bagi pencalonannya sebagai Menteri Besar Selangor menerusi surat daripada PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Sebelum PRU-14, terdapat ura-ura PH mahu melantik saya sebagai Menteri Besar Selangor tetapi dua hari selepas gabungan itu menang tiba-tiba calon Menteri Besar Selangor telah diumumkan tanpa restu parti lain.
“Saya tidak mahu jadi ‘budiman’ lagi. Hanya satu nama dicadangkan untuk jawatan Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu nama saya. Malah, saya mendapat restu daripada semua komponen PH dan surat itu telah dihantar kepada Sultan Selangor,” kata beliau pada sidang akhbar di kediaman beliau di Petaling Jaya semalam.










