Mavcom diarah ambil tindakan syarikat penerbangan kenakan caj tersembunyi - Utusan Malaysia

Mavcom diarah ambil tindakan syarikat penerbangan kenakan caj tersembunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan mengenakan caj tersembunyi yang tidak sepatutnya kepada para pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehubungan itu Mavcom akan mengenal pasti syarikat-syarikat penerbangan tersebut bagi memastikan golongan pengguna tidak lagi dikenakan caj-caj yang membebankan.

“Ini semuanya kita akan lihat kembali kerana caj-caj tersembunyi ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna.

“Jadi, pihak Mavcom akan mengkaji dan melihat kalau mana-mana syarikat penerbangan mengenakan caj-caj tersembunyi ini, kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Platform Maklumat FlySmart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Anthony, bagi tujuan perlindungan hak dan kepentingan pengguna, Mavcom telah memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 yang menyatakan peruntukan lebih telus dan jelas mengenai hak pengguna sebagai penumpang penerbangan.

“Berdasarkan MACPC, syarikat penerbangan dan pihak lapangan terbang diberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan aduan pengguna dan sekurang-kurangnya 90 peratus aduan pengguna yang diterima perlu diselesaikan setiap bulan.

“Setakat Mei 2018, sebanyak 3,504 aduan telah diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 99.3 peratus telah berjaya diselesaikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anthony menepis dakwaan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia mengatakan beliau tidak memahami tuntutan sebenar kumpulan pemandu teksi di negara ini sebaliknya mengambil langkah demi kepentingan semua pihak.

“Saya faham, pemandu teksi mahu kita melarang terus syarikat-syarikat perkhidmatan e-hailing di negara ini, tetapi itu bukan pendirian kerajaan kerana kementerian perlu mengimbangi kepentingan pemandu teksi dan rakyat secara keseluruhan,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini