Maut gara-gara lari diburu pengawal sempadan Amerika - Utusan Malaysia

Maut gara-gara lari diburu pengawal sempadan Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS 18 Jun – Seramai lima pendatang asing maut manakala beberapa lagi cedera selepas ken­deraan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada pasukan Pengawal Sempadan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 145 kilo­meter di utara sempadan Mexico.

Menurut Sherif Daerah Dimmit, Marion Boyd, mangsa yang terce­dera dibawa keluar daripada kende­raan jenis Chevy Suburban yang sarat dengan 14 penumpang dan dipandu pada kelajuan 160 kilometer sejam.

Kenderaan itu dilaporkan ter­babas dan terbalik ketika peman­dunya cuba membetulkan semula haluan, menyebabkan beberapa orang tercampak keluar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami telah melihat kejadian seperti ini berulang kali, bukan sahaja di daerah ini malah daerah lain sepanjang sempadan.

“Insiden ini merupakan contoh terbaik mengapa sempadan kita perlu diawasi dengan baik,” kata Boyd.

Sementara itu, Jabatan Perlin­dungan Sempadan dan Kastam AS dalam satu kenyataan menjelaskan, kejadian itu dikatakan berlaku selepas pasukan Penga­wal Sempadan mengenal pasti tiga kenderaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Pasukan Pengawal Sempadan berjaya menahan dua kende­raan berkenaan dan melakukan penangkapan namun kenderaan ketiga tidak berjaya dihalang dan mereka cuba melarikan diri.

Pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kece­deraan dan berjaya ditahan sejurus selepas kemalangan terbabit. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini