KUALA LUMPUR 27 Jun – Penutupan bazar perayaan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid India yang diumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dianggap keterlaluan dan mendapat bantahan persatuan penjaja dan orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati rata-rata pengunjung tidak bersetuju sekiranya lokasi membeli-belah yang wujud sejak sekian lama itu ditutup.
Pengunjung, Nazri Abd. Rahman menyifatkan penutupan bazar itu bukan sahaja merugikan golongan peniaga bahkan ‘mencabuli’ hak ratusan peniaga yang hanya mencari rezeki di kawasan itu setahun sekali.
Katanya, tindakan itu tidak mustahil akan menyebabkan daya tarikan dan perniagaan di syurga membeli-belah itu merosot dalam jangka panjang.
“Keputusan itu sama sekali tidak masuk akal dan tidak akan menguntungkan sesiapa bahkan saya percaya pendapatan pemilik-pemilik pusat perniagaan di kawasan itu juga akan terjejas sekiranya bazar itu ditutup.
“Pihak berkuasa perlu sedar bahawa golongan penjaja dan pemilik gedung perniagaan di situ sebenarnya saling memerlukan atas faktor daya tarikan yang ada pada kedua-duanya,” katanya kepada Utusan Malaysia berhubung pengumuman penutupan bazar perayaan oleh DBKL semalam.
Sementara itu, Farah Shazwanis Dzamani, 29, berkata, tindakan oleh DBKL itu seolah-olah menunjukkan DBKL cuba lari daripada tanggungjawab menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di tapak perniagaan tersebut.
Selain itu katanya, masalah kesesakan dan kebersihan kawasan tidak wajar dijadikan isu kerana perkara itu berlaku di semua lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat.
“Keputusan DBKL itu bukan jalan penyelesaian yang terbaik. Sebagai PBT, mereka harus lebih bijak dan tahu apa yang perlu dilakukan tanpa perlu menjejaskan periuk nasi golongan penjaja.
“Jika ada masalah yang perlu diselesaikan, DBKL perlu bertindak dengan cara yang betul atau tingkatkan penguatkuasaan kepada penjaja,” katanya.
Bagi pelajar, Nurain Najiha Jaffar, 22, bazar musim perayaan berkenaan adalah daya tarikan utama masyarakat khususnya Melayu dan India setiap kali musim perayaan kerana menawarkan barang pada harga murah.
Bahkan katanya, kedua-dua lokasi itu sudah cukup sinonim kerana kedudukannya yang strategik dan dilengkapi kemudahan awam.
“Sayang jika bazar ini ditutup kerana memang sesetengah barang orang beli di pusat membeli-belah seperti Kamdar, Jakel dan Sogo tetapi ada juga barang yang orang ramai beli di bazar.
“Bagi pelajar seperti saya, sudah pasti bazar menjadi lokasi pilihan utama. Saya memang tidak setuju jika bazar itu ditutup,” katanya.











