JERANTUT 31 Mei – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyarankan semua masjid di negeri ini menganjurkan aktiviti muamalat dan berasaskan ekonomi kepada orang ramai.
Baginda bertitah, selain aktiviti kerohanian, program yang mampu menjana dana kepada masjid juga wajar dilaksanakan agar tidak bergantung kepada kerajaan negeri untuk melakukan sesuatu perkara.
“Beta sarankan supaya masjid-masjid di Pahang menganjurkan aktiviti berasaskan ekonomi seperti bazar Jumaat, bazar Ramadan, pusat tuisyen, kios makanan dan minuman, klinik masjid serta penyewaan dewan untuk penganjuran kursus.
“Masjid juga boleh terlibat dalam aktiviti pelaburan ke atas aset-aset seperti dana terkumpul dalam skim pelaburan koperasi dan lain-lain,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Talha Bin Ubaidillah di Kampung Temin di sini semalam.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.
Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima.
Tengku Abdullah bertitah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berganding bahu bersama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bagi membentuk polisi dan dasar yang jelas tentang kaedah serta tatacara penglibatan institusi masjid dalam aktiviti berbentuk ekonomi.
“Penubuhan koperasi masjid juga sangat praktikal. Pada awal bulan ini, saya sendiri telah melancarkan koperasi Pegawai-Pegawai Masjid Pahang Berhad di Kuantan yang akan menjadi pemangkin penubuhan syarikat pegangan pelaburan iaitu Mosque Holding Company,” titah baginda.
Bagi mengelak kekeliruan terhadap institusi masjid, baginda mahu semua aktiviti ekonomi berkenaan tidak dikomersialkan seperti syarikat korporat.
“Keuntungan daripada koperasi akan dibahagikan sebagai dividen kepada anggota kariah yang mempunyai saham dan ini manfaat yang besar bagi mereka ,” titah baginda.









