Masjid Abu Bakar sedia barang keperluan makanan percuma - Utusan Malaysia

Masjid Abu Bakar sedia barang keperluan makanan percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 31 Mei – Bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan bantuan khususnya orang miskin, Masjid Abu Bakar di sini bertindak proaktif menyediakan barangan keperluan harian percuma.

Menerusi inisiatif itu, bara­ng­an­ keperluan seperti beras, tepung, susu dan gula ditempatkan di rak khas di pekarangan masjid bagi membolehkan mana-mana individu yang memerlukan bantuan mendapatkannya.

Imam Masjid Abu Bakar, Mohd. Zam Zam Awang Din berkata, inisiatif itu dilaksanakan di masjid berkenaan bermula awal Ramadan lalu.

“Selain sumbangan pelbagai pihak dan individu, pengurusan masjid juga mengeluarkan dana dalam projek yang bermanfaat membantu golongan memerlukan bantuan ini.

“Setakat ini, sambutan yang diterima luar biasa yang mana ada individu datang dari jauh seperti Lanchang untuk mendapatkan sumbangan bekalan makanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zam Zam, sejak dimulakan, lebih 100 individu mendapat manfaat daripada program itu yang memberi keutamaan kepada masyarakat setempat.

Katanya, setiap penerima diambil maklumat latar belakang termasuk pekerjaan dan tanggungan mereka bagi memastikan program tersebut mencapai matlamat membantu golongan memerlukan bantuan.

“Sebuah keluarga boleh mengambil tiga barang mengikut pilihan mereka dan hanya dua barang jika memilih beras. Jika ada yang cuba menipu, kita tidak dapat halang dan ia terserah kepada keikhlasan serta kejujuran mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­nerima yang hanya mahu dikenali sebagai Ridhuan berkata, program itu membantunya yang terputus bekalan makanan sejak beberapa hari lalu.

Dia berterima kasih kepada pengurusan masjid dan individu yang menyalurkan sumbangan berkenaan yang amat besar ertinya kepada golongan memerlukan bantuan sepertinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN