Martens, Lukaku pastikan kejayaan Belgium - Utusan Malaysia

Martens, Lukaku pastikan kejayaan Belgium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOCHI 19 Jun – Sepakan voli Dries Mertens dan dua jaringan Romelu Lukaku memastikan Belgium menang 3-0 ke atas Panama yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia dalam aksi Kumpulan G di Stadium Fisht, hari ini.

Panama bagaimanapun berjaya mengekang asakan Belgium pada separuh masa pertama dan akhirnya gawang mereka dibocori dua minit selepas babak kedua bermula hasil jaringan Martens.

Lukaku kemudian meledak dua lagi jaringan bagi memastikan skuad kendalian Roberto Martinez meraih tiga mata dalam perlawanan pertama mereka.

Pada separuh masa pertama, Belgium yang merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan itu melakukan serangan bertubi-tubi dari semua arah namun benteng pertahanan Panama berjaya mengatasinya dengan cemerlang.

“Kami bermula dengan baik pada 15 minit pertama sebelum barisan pertahanan Panama menjadi lebih teratur dan keadaan itu menggusarkan kami.

“Tetapi saya gembira dengan respon yang diberikan pasukan ini kerana mereka komited untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi dan pada separuh masa kedua kami menjadi semakin baik di hadapan pintu gol.

“Jaringan hebat daripada Dries Martens memberikan ruang kepada kami untuk bernafas dan selepas itu kami mengawal keadaan dengan lebih baik.

“Panama menunjukkan tindak balas cemerlang tetapi sukar untuk mereka kekal konsisten lebih daripada 45 minit dan pemain saya berhak diberikan pujian kerana beraksi dengan baik selama 90 minit,” kata Martinez.

Sementara itu, pengendali Panama, Hernan Dario Gomez menyifatkan keputusan itu sudah dijangka tetapi gembira kerana mereka tidak tewas dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

“Keadaan akan menjadi lebih buruk jika mereka menjaringkan lebih banyak gol dan mengambil kira sejarah pasukan, saya melihat ini sebagai keputusan biasa kerana Belgium mampu melakukannya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN