Maritim Malaysia tahan bot nelayan `tarik tepi’ - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan bot nelayan `tarik tepi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 22 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah bot nelayan tempatan pukat tunda (kelas C) pada kedudukan 5.5 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi di sini kira-kira pukul 3.35 pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim negeri, Komander Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang 15 batu nautika dari daratan terdekat.

Tambahnya, hasil pemeriksaan, seorang tekong bersama 21 awak-awak warga Thailand berada di atas bot tersebut yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Batu Uban untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitam, beliau memaklumkan pihaknya sedang giat melaksanakan Op Pagar Laut sempena musim perayaan bagi memastikan perairan Malaysia sentiasa selamat.

“Hasilnya kami berjaya menahan dua buah bot nelayan tempatan atas kesalahan sama iaitu melanggar syarat sah lesen pada pukul 1.30 petang 14 Jun lalu dan sebuah lagi pukul 8.20 pagi 16 Jun lepas,” katanya.

Menurut Hamizan, Maritim Malaysia negeri akan sentiasa memastikan perairan negara khususnya di negeri ini selamat dan meminta kerjasama orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat sebarang aduan dan kecemasan di laut.

Katanya, orang ramai boleh hubungi talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Pejabat Maritim negeri di talian 04-6246126. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN