Mangsa masih hilang - Utusan Malaysia

Mangsa masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHIANG RAI 28 Jun – Sepasukan kakitangan tentera Amerika Syarikat (AS) dan penyelam Britain menyertai misi mencari 12 remaja dan jurulatih bola sepak yang terperangkap hampir lima hari di sebuah gua di utara Thailand.

Komander Tentera Daerah Chiang Rai, Major Buncha Duriyapan, berkata, usaha mengge­rudi dari puncak kompleks gua Tham Luang di utara Chiang Rai akan dilakukan untuk mewujudkan pintu masuk alternatif bagi memudahkan pasukan penyelamat mencari mangsa.

“Kami akan menggerudi salah satu cerobong. Para penyelam yang baharu tiba terus dihantar ke gua ini untuk membuat penilaian,” katanya, merujuk kepada tiga penyelam Bri­tain yang mendarat di Thailand semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan mengesahkan 30 anggota tentera AS dari pusat pemerintahan tentera AS di Asia Pasifik terdiri daripada pakar penyelamat telah menyertai operasi pencarian membawa bersama peralatan untuk me­nembusi tembok gua tersebut.

Usaha mencari dan menyelamat yang disertai unit elit tentera laut Thailand (SEAL) terjejas akibat hujan lebat dan banjir di dalam gua di mana remaja berusia antara 11 dan 16 tahun, dan penolong jurulatih berusia 25 tahun hilang Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Wirachai Songmetta berkata, pegawai polis berusaha meneroka laluan sepanjang satu kilometer di bahagian kanan gua tersebut.

Setakat ini, pasukan penyelamat telah memberi tumpuan kepada laluan sejauh tujuh kilometer di sebelah kiri pintu masuk gua yang dipercayai digunakan oleh semua mangsa.

Pihak berkuasa berkata, mereka optimis bahawa 12 remaja dan jurulatih mereka masih hidup, tetapi tempoh lima hari tanpa sebarang petunjuk meningkatkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga mangsa. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN