Malaysian Malaysia undang tindak balas tegas bumiputera - Utusan Malaysia

Malaysian Malaysia undang tindak balas tegas bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Jun – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa cuba menerapkan agenda Malaysian Malaysia me­lalui gagasan Malaysia Baharu dikhuatiri boleh me­ngundang tindak balas tegas oleh golongan bumiputera yang membentuk golongan majoriti di negara ini.

Muhd Zuhdi Marsuki

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, perkara itu dapat diperhatikan melalui beberapa tindakan yang diambil oleh Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut beli­au, DAP yang meng­anggotai Pakatan Harapan dipercayai bersungguh-sungguh mahu mereali­sasikan Malaysian Ma­laysia setelah agenda ter­sebut ditolak sejak 60 tahun lalu.

“Bagaimanapun, ba­gi mengaburi masyarakat bumiputera tentang pelaksanaan agenda tersebut, tema yang ditonjolkan adalah Malaysia Baharu, iaitu satu perubahan rupa bentuk negara yang dahulunya berasaskan kontrak sosial kepada asas yang baharu.

“Asas baharu tersebut, tiada lagi keistimewaan kepada kaum tertentu dan juga kedaulatan agama tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zuhdi mengulas tentang kenyataan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong baru-baru ini yang menyifatkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang ha­nya mengemukakan nama Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebagai satu usaha untuk menonjolkan agenda Malaysian Malaysia kepada ma­syarakat.

Katanya, perubahan rupa bentuk negara jika dilakukan secara drastik boleh meruntuhkan empat tonggak Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi teras kestabilan politik dan keharmonian kaum.

Mohd. Zuhdi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak meletakkan harga yang murah terhadap keempat-empat tonggak tersebut iaitu Islam agama Persekutuan, kedaulatan raja-raja Melayu, bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN