PUTRAJAYA – Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) mencadangkan supaya pemberian subsidi kepada industri padi dikembangkan kepada tanaman lain yang boleh mendatangkan pulangan tinggi kepada pesawah atau petani, kata Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
LPP diberi saranan itu semasa bertemu MPK hari ini selain turut membincangkan tentang perbezaan hasil padi di kawasan luar jelapang dan dalam jelapang.
“Kawasan luar jelapang padi umumnya tidak mempunyai infrastruktur pengairan yang mencukupi untuk menghasilkan pengeluaran padi yang tinggi iaitu sekitar 3.2 hingga 3.9 metrik tan sehektar.
“Hasil padi di dalam kawasan jelapang padi pula misalnya di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) lebih tinggi iaitu sekitar 4.8 hingga 5.5 metrik tan sehektar,” kata LPP dalam kenyataan hari ini.
Perbezaan itu memerlukan perhatian serius kerana kerajaan membelanjakan peruntukan subsidi setiap tahun dalam jumlah yang besar iaitu hampir RM1 bilion, kata LPP. – Bernama










