KUALA LUMPUR 31 Mei – Sebanyak RM1.2 juta diagihkan kepada 13 buah hospital dan pusat perubatan melalui Tabung Kebajikan Hospital-Hospital, hasil sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan yang diadakan di Auditorium Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang turut dirasmikan olehnya.
Menurut Fahmi, sumbangan tersebut diharapkan dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu para pesakit yang kurang berkemampuan.
“Saya difahamkan pelbagai usaha dilakukan oleh pihak MAIWP bagi memudahkan golongan yang memerlukan untuk mendapatkan bantuan zakat, antaranya menerusi pembukaan pusat-pusat Agihan Zakat (Paza) mengikut kawasan Parlimen, mewujudkan Kaunter Bergerak Baitulmal MAIWP, penubuhan Skuad Jejak Asnaf dan banyak lagi.
Yang terbaharu kata beliau, pelaksanaan e-Baitulmal iaitu permohonan bantuan zakat secara dalam talian bagi memudahkan lagi penyaluran bantuan zakat.
“Sumbangan pada hari ini adalah salah satu daripada langkah proaktif daripada MAIWP dan saya harapkan langkah sebegini dapat membantu kerajaan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh.
Dalam majlis itu, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tunku Muhriz dan PPUM menerima sumbangan sebanyak RM200 ribu, sementara Hospital Putrajaya pula menerima sumbangan RM150 ribu.
Hospital Selayang, Hospital Angkatan Tentera Malaysia Tuanku Mizan, Hospital Rehabilitasi Cheras, Institut Jantung Negara, Yayasan Institut Jantung Negara; Majlis Kanser Nasional, Yayasan Kanser Malaysia, Hospital Pusrawi dan Hospital Labuan pula masing-masing menerima sumbangan RM50 ribu.
Selepas majlis tersebut, Fahmi turut meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan Aildilfitri kepada sebahagian pesakit di wad PPUM.
Melalui sumbangan Aidilfitri oleh MAIWP, seramai 490 pesakit dewasa menerima sumbangan wang tunai RM100 seorang, manakala 150 pesakit kanak-kanak pula menerima sumbangan berupa hamper.










