MAHU BANTU PULIHKAN UMNO - Utusan Malaysia

MAHU BANTU PULIHKAN UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH: UMNO memerlukan barisan kepemimpinan baharu yang bukan sahaja berpengalaman, berwibawa dan berwawasan namun apa yang paling penting ketika ini setia, cekal dan optimis selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu untuk bangkit semula.

Apatah lagi dengan hakikat bahawa satu demi satu parti komponennya bertindak meninggalkan parti itu yang menambah malang nasib parti berusia tujuh dekad ini dan untuk mendepani kenyataan itu, wadah perjuangan parti bukan sahaja perlu kekal kepada landasannya malah diperkukuhkan walaupun satu hari ini ia mungkin kekal bersendirian.

Itu janji kebangkitan yang ditawarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, DATUK SERI MAHDZIR KHALID yang berhasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti kali ini yang diluahkan kepada wartawan Utusan Malaysia, JAMLIAH ABDULLAH dan jurugambar FARIZ RUSADIO ketika menemubual beliau.

 

 

UTUSAN: Biasanya mana-mana parti pemerintah yang sudah berkuasa sekian lama untuk bangkit semula agak sukar. Adakah nasib Golkar di Indonesia akan menjangkit juga kepada UMNO?

MAHDZIR KHALID: Parti UM­NO berusia 72 tahun yang meme­rintah 61 tahun dan dalam tempoh enam dekad menjadi kerajaan, saya kira ia satu tempoh yang panjang. Parti Perikatan asalnya tukar nama kepada Barisan Nasional berjaya menjadi kerajaan dan himpitan dalam tempoh 61 tahun itu, UMNO mempunyai pesaing yang pada mulanya kecil. Kalau kita ambil seawal kemerdekaan yang betul-betul jadi pesaing adalah Pas yang lahir pada 1951. Pe­saing lain tidak ada.

Kemudian apabila datang tahun 60-an, barulah pesaing ­kedua datang iaitu DAP apabila Lim Kit Siang yang jadi Setiausaha Politik kepada Lee Kuan Yew dan Kuan Yew pilih untuk keluar Malaysia pada 1963.

Dalam perjalanan 70-an misalnya, UMNO tiada pesaing, masih Pas dan DAP tetapi bila datang tahun 80-an, sudah mula ada parti yang ditubuhkan asas sama ada daripada Pas atau UMNO misalnya parti Semangat 46 daripada Tengku Razaleigh Hamzah, parti ditubuhkan oleh Datuk Muhamed Nasir, Berjasa tetapi boleh dikatakan parti itu dalam sekali dua pilihan raya, habis.

Kemudian dalam 1998, bila PKR ditubuhkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO juga bergabung jadi barisan pembangkang bersama DAP dan Pas, kemudian parti ini masih bertahan lebih kurang 20 tahun campur dengan parti DAP lebih kurang 50 tahun dan terbaharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), gabungan parti pembangkang ini kecuali Pas telah pun menamakan diri mereka sebagai Pakatan Harapan dengan meletakkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai ketua sebagai Pengerusi PPBM.

Gabungan inilah berjaya menumbangkan BN atau UMNO. Jadi maknanya apa yang saya boleh sebut dengan kejayaan mereka, BN menang 79 kerusi sahaja daripada 222 kerusi. Pas sebagai satu blok menang 18 kerusi dan ada lagi parti blok sendiri, Parti Warisan Sabah, menang lapan kerusi dan ada Bebas. Jadi mereka berjaya tubuh kerajaan Pakatan Harapan.

Pada sayalah, kita telah membawa parti atas kesukuan, bangsa ini dari awal kemerdekaan. MCA jaga orang Cina, MIC jaga masyarakat India dan UMNO jaga Melayu dan kita telah bergabung.

Sama ada ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak relevan masa ini tetapi untuk saya ingin tegaskan itulah satu parti komponen yang telah berjaya membawa negara 61 tahun.

Maknanya orang nak kata itu old school atau apa pun tetapi kumpulan inilah, UMNO, MCA, MIC, Gerakan serta kombinasi parti etnik di Sabah dan Sarawak inilah yang bawa Malaysia selama 61 tahun. Walaupun kemudiannya mereka namakan apa sajalah, barangkali sebab tak suka dah. LDP di Jepun, Kuomintang di Taiwan, Golkar di Indonesia, Parti Kongres India di India dan UMNO di Malaysia, saya punya keyakinan bahawa parti ini ada lagi penyokong, pengikut, pendukung dan pejuang yang mahu sebenarnya bergerak atas nama parti ini.

Jika sasaran untuk kembali berkuasa dalam tempoh lima tahun ini, bagaimana caranya untuk membina UMNO sebagai pembangkang yang dinamik?

Kita ambil contoh macam kes baru ini, ada 54 kerusi Parlimen dimenangi UMNO dan kalau pergi Dewan Undangan Negeri (DUN) tolak Kedahlah hanya ada tiga daripada 20 kerusi. UMNO saja mungkin ada 18, tolak MCA dua orang, maknanya itu dalam konteks Kedah.

Tetapi kalau kita tengok dalam konteks Perak, UMNO boleh dapat 27 kerusi, Pakatan Harapan yang campur PKR, Amanah dan PPBM 29 kerusinya, maknanya UMNO agak kuat. Negeri Sembilan, Melaka pun sama, satu dua kerusi sahaja tidak cukup. Yang teruk Kedah, Selangor dan Johor.

Kalau seperti di Pantai Timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang persaingan bukan dengan Pakatan Harapan tetapi antara BN-UMNO dan Pas. Pada 2004, Pas menang di Terengganu lepas itu kita menang balik dan kini kalah. Kedah pun menang, kalah balik. Jadi saya tengok ada ruang yang boleh digilap.

Ketika ada pihak percaya UMNO mampu menjadi pembangkang yang baik, di satu pihak lagi tidak yakin kerana untuk menggerakkan operasi, sesebuah parti memerlukan per­belanjaan iaitu wang. Apa kata Datuk Seri?

Kita tengok bila jadi pembangkang ini maksudnya pada saya kita pergi bangkitkan benda yang satu perkara atau beberapa perkara yang melibatkan dasar. Kemudiannya kita bercakap tentang janji-janji. Ketiga melibatkan rakyat, kalau benda ini anda buat rakyat untung, bila tak buat? Dulu janji, mana janji itu?

Saya tengok dalam sebulan ini tak sempat nak cakap apa lagi. Be­rilah peluang juga mereka meme­rintah dan kita tengok lepas itu.

Saya ingat kewangan bukan menjadi masalah cuma setelah sekian lama jadi kerajaan, semua ada ‘bapa’ tolong biayai bila tidak ada ini, kita akan merasai tetapi kita kena ada kekuatan dan ketahanan sedikit untuk terima. Saya bersedia untuk menerima hakikat bahawa kita adalah parti pembangkang, bolehlah teruskan wadah perjuangan parti.

Ada beranggapan elok saha­ja UMNO bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti kerana ambil pengajaran semasa dalam BN pun, parti komponen terutama MCA, Gerakan dan MIC tidak menyumbang apa-apa pun?

Kita tidak mengatakan apa-apa yang buruk mengenai rakan kongsi kita selama ini. Cumanya kadang-kadang kita kecil hati dengan rakan kongsi bila kenyataannya macam hari ini Pemuda Gerakan katakan, sampai masa untuk kita fikir halau UMNO daripada BN. Come onlah, bila sudah jadi macam ini, perkataan yang diguna tak bolehlah begitu.

Saya kira apa yang diambil pendirian oleh komponen di Sarawak kita hormati mereka, sebab mereka minta untuk jadi blok politik Sarawak atas kepentingan negeri itu. Macam saya selalu sebut Sarawak bukan negeri tetapi adalah wilayah apabila sertai Malaya pada 1963. Wilayah Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Singapura bergabung bentuk Malaysia.

Kita hormati mereka dengan blok gabungan parti Sarawak. Kalau katakan apa lagi yang ada parti ini kita hormati mereka. Akhirnya nanti kalau UMNO tinggal sendirian, maka parti itu perlu bergerak sebagai satu entiti single untuk tentukan hala tuju dan perjua­ngan sendiri dalam gerakan ini.

Datuk Seri menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden dan dalam situasi parti yang terumbang ambing setelah tumbang pada PRU-14 sejauh manakah keyakinan Datuk Seri mampu kembali mengukuhkan kekuatan parti di semua peringkat?Atas sedikit sebanyak pengalaman peribadi berada di Persekutuan, negeri dan dalam Majlis Tertinggi selama 13 tahun, saya boleh katakan bolehlah memberi sedikit sebanyak sumbangan, peranan dan sama-sama membantu kerja-kerja memulih dan memperkemaskan parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN