KEMAMAN – Seorang lelaki menghadapi detik cemas selepas terperangkap lebih sejam dalam lori penuh dengan muatan kelapa sawit dipandunya yang terbalik selepas terjunam ke dalam sebuah gaung berhampiran Ladang Putra North Terajul dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.32 petang itu, Abdul Mutalib Ab. Manaf, 50, bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Cheneh, Muhammad Hasbullah Halipah berkata, sewaktu kejadian, Abdul Mutalib dalam perjalanan untuk menghantar buah sawit ke sebuah kilang pemprosesan minyak kelapa sawit berhampiran ladang berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori jenis Nissan 10 tan yang membawa penuh muatan kelapa sawit dipercayai mengalami masalah mekanikal pada bahagian brek.
“Kegagalan brek berfungsi telah menyebabkan lori terbabit telah terbabas ke cerun bukit sebelum mengelongsor ke dalam gaung sedalam kira-kira 250 meter,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE










