KLAGENFURT, Austria 3 Jun – Joachim Loew mengkritik persembahan buruk Jerman setelah juara dunia itu tewas 1-2 kepada Austria dalam perlawanan di mana Manuel Neuer kembali ke pangkuan pasukan yang gagal melakar sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
“Jika kami bermain seperti ini di Rusia, maka kami tidak akan ada peluang sama sekali,” kata ketua jurulatih Jerman, Loew dalam nada marah di Klagenfurt hari ini.
Tidak sampai dua minggu sebelum sepak mula Piala Dunia di Rusia, Jerman kini ditimpa kekalahan berturut-turut selepas mereka tewas 0-1 kepada Brazil di Berlin Mac lepas.
Berita baik daripada sudut pandangan Jerman ialah penjaga gol Bayern Munich, Neuer yang kelihatan bersedia untuk beraksi dalam Piala Dunia selepas membuktikan tahap kecergasannya selepas diketepikan selama lapan bulan kerana cedera.
Walau bagaimanapun, apabila benteng pertahanan Jerman diasak lawan pada babak kedua permainan, Neuer akhirnya gagal mengekang jaringan Martin Hinteregger dan Alessandro Schoepf selepas Mesut Ozil meletakkan Die Mannschaft di depan seawal minit ke-11.
“Ini merupakan satu kepulangan yang bagus buat Manuel Neuer selepas sekian lama tidak bermain. Dia mempamerkan aksi cemerlang apabila menyelamatkan satu atau dua percubaan berbahaya, tetapi kekalahan ini benar-benar membuat saya berasa jengkel.
“Kami tidak langsung menerapkan apa yang kami rancang dalam sesi latihan. Selepas rehat, kami dibolosi yang mana saya amat tidak menyukainya dan kami beraksi buruk ketika cuba melancarkan serangan,” kata Loew.
Namun begitu, Loew masih mampu bersikap tenang dengan sebelah matanya telahpun mula mengintai ke Piala Dunia.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi kami tidak meletakkan sebarang tekanan. Dalam tempoh dua minggu, pasukan ini akan menjadi sebuah skuad yang jauh berbeza dan saya tidak akan mendapat tidur yang lena,” ujarnya.
Loew yang merehatkan pemenang Piala Dunia – Thomas Mueller, Toni Kroos, Mats Hummels dan Jerome Boateng – menyaksikan skuad bimbingannya hanya menguasai permainan untuk sejam pertama perlawanan yang terpaksa ditangguhkan seketika akibat hujan. – AFP










