Lihat Undang-Undang Tubuh Selangor – MB - Utusan Malaysia

Lihat Undang-Undang Tubuh Selangor – MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 20 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari meminta mana-mana pihak yang mempertikai pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor baharu agar merujuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, iaitu di mana Sultan Selangor mempu­nyai hak mutlak memperkenankan sesiapa sebagai Menteri Besar.

Ketika ditemui pemberita di pejabatnya di tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, bagi memulakan tugas sebagai Menteri Besar, Ami­rudin berkata, beliau berlapang dada dengan kritikan pihak tertentu selain mahu meneruskan amanahnya untuk membangunkan negeri serta rakyat Selangor.

“Saya fikir itu (peruntukan undang-undang) telah memberi pemahaman yang jelas (dalam soal pelantikan Menteri Besar). Justeru itu, saya tegaskan bahawa memang salah satu daripada prinsip dan sikap pentadbiran negeri hari ini adalah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama kerajaan negeri juga komited mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan rakyat Selangor sekaligus memberi fokus kepada kecemerlangan negeri,” katanya mengulas ‘sera­ngan’ oleh rakan sepasukannya yang juga ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad terhadap pelantikannya.

Semalam Idris mendakwa Amirudin tidak mendapat soko­ngan daripada komponen Pakatan Harapan tetapi tetap meng­angkat sumpah sebagai Menteri Besar dengan hanya bergantung kepada restu Datuk Seri Moha­med Azmin Ali seorang sahaja.

Dalam pada itu, Amirudin turut menepis dakwaan pihak ter­tentu yang melabelkannya sebagai ‘budak Azmin’ di sebalik pelantikannya kerana perkara tersebut telah diperjelaskan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri semalam.

Ditanya mengenai fokus uta­manya dalam pentadbiran Sela­ngor, Amirudin menyatakan beliau mahu memberikan fokus kepada keperluan rumah rakyat, perkhidmatan kesihatan bersepadu, sistem pengangkutan yang berkesan, kelestarian alam sekitar serta peluang pekerjaan yang berkualiti.

“Usaha ini termasuklah menyelesaikan penstrukturan pengurusan perkhidmatan air di Selangor dengan segera. Sebelum ini mungkin ada perbezaan pandangan dan sikap di antara kerajaan negeri de­ngan Kerajaan Persekutuan, sekarang kedua-dua peringkat pentadbiran ini telah ada keserasian.

“Jadi saya harapkan paling tidak akan ada satu penyelesaian muktamad mengenai pengurusan perkhidmatan air di Sela­ngor yang tergantung sejak sekian lama sebelum tempoh (penstrukturan) itu tamat pada 31 Julai ini,” ujarnya yang memaklumkan akan berlaku rombakan kecil ke atas barisan Exco Selangor dalam minggu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini