Lesen khusus untuk trak pikap - Utusan Malaysia

Lesen khusus untuk trak pikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, KITA kerap membaca laporan berkenaan kemalangan maut yang membabitkan kenderaan pacuan empat roda.

Kenderaan jenis ini amat popular kebelakangan ini kerana harganya yang dikatakan mampu milik dan lasak serta kelihatan sesuai untuk hampir semua aktiviti sama ada di kota, tapak pembinaan, ladang-ladang atau beriadah bersama keluarga.

Pendek kata, ia yang boleh dianggap sebagai lori kecil atau trak pikap untuk apa juga aktiviti.

Jika diubah suai sedikit dan dilengkapi aksesori, ia akan menjadi trak sport kebanggaan pemiliknya.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan apabila kita kerap membaca laporan akhbar yang mengaitkan kemalangan maut dengan kenderaan jenis ini di banyak lokasi di seluruh negara.

Bukan salah trak pikap tetapi orang yang memandunya. Bukan semua tetapi segelintir yang merasakan mereka membawa kenderaan besar dan berkuasa tinggi, seolah–olah mampu merempuh apa sahaja di depan mereka.

Jika kita berada di lebuh raya, rasanya tak terkejar jika dipotong trak pikap ini. Mereka memandu seolah-olah memandu kereta penumpang.

Kita pun cuak jika mereka ini di belakang dan seolah-olah ‘mencucuk’ dan menghalau ke tepi. Mahu tak mahu kita beri jalan untuk mereka memecut jauh melepasi had kelajuan dibenarkan.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakan peraturan tertentu untuk mereka yang mengendalikan trak-trak pikap ini dengan dikenakan permit khusus atau penetapan had laju khusus.

Mungkin lesen kelas berbeza (bukan kelas kereta – D) patut dikuatkuasakan ke atas pemandu-pemandu trak ini.

Memang akan ada yang menyanggah apa saya cadangkan tetapi bayangkan kesukaran dan kesengsaraan yang perlu dilalui keluarga mangsa kemalangan maut yang diakibatkan oleh kecuaian pemandu trak pikap.

Paling ditakuti apabila anak-anak muda yang mungkin baru lulus dan memperoleh lesen memandu bersuka ria bersama rakan masing-masing, memandu trak pikap milik keluarga mereka, umpama samseng jalanan.

Trak adalah trak dan bukan kereta penumpang. Semasa mengambil lesen memandu mereka membawa kereta Kancil dan sebaik sahaja lulus, pemandu muda ini membawa trak atau senang cakap lori kecil.

Memiliki trak pikap umpama satu trend kini dan ia semakin berkembang.

Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan kerana kita tidak mahu lebih banyak kemalangan maut berlaku, khususnya membabitkan kenderaan trak pikap.

Buatlah carian di internet dan kita boleh menemui hampir setiap bulan atau setiap minggu ada sahaja kemalangan maut yang dikaitkan dengan trak pikap ini.

Kita juga perlu sedar bukan semua yang cuai tetapi segelintir, yang menyusahkan kehidupan kelompok yang lebih besar.

Dalam dunia ini, apa benda sekalipun jika disalahgunakan akan membawa mudarat.

 

DIN PIKAP

Kajang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN