Lelaki serang media AS - Utusan Malaysia

Lelaki serang media AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANNAPOLIS, Maryland – Seorang lelaki yang berdendam terhadap sebuah akhbar Annapolis melepaskan tembakan menggunakan senapang patah di bilik berita media ber­kenaan kelmarin, me­ngakibatkan sekurang-kurangnya lima orang maut, kata pihak berkuasa.

RAMOS
RAMOS

Serangan itu merupakan antara yang paling berdarah ke atas entiti media dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Polis dan saksi berkata, suspek menembak menembusi sebuah pintu kaca sebelum masuk dan melepaskan tembakan rambang di dalam bilik berita kumpulan akhbar Capital Gazette.

Pemangku ketua polis di Jabatan Polis Daerah Anne Arundel, William Krampf memberitahu satu sidang akhbar bahawa penolong pengarang Capital Gazette, Rob Hiaasen, 59, merupakan antara yang terbunuh.

“Ini merupakan serangan terancang ke atas Capital Gazette. Penyerang sanggup menembak orang ramai. Dia memang berniat untuk mendatangkan kecede­raan,” kata Krampf.

Penyerang yang dikenali sebagai Jarrod Ramos, 38, dan berasal dari bandar Laurel di Maryland kini ditahan polis, demikian menurut akhbar Capital Gazette dan Baltimore Sun yang memetik sumber polis.

Pada tahun 2012, Ramos mengemukakan saman fitnah terhadap Eric Hartley dan Thomas Marquardt, masing-masing merupakan bekas wartawan dan pengarang Capital Gazette.

Mahkamah kedua tertinggi Maryland membuat keputusan memihak kepada Capital Gazette berhubung saman tersebut pada 2015.

Menurut dokumen mahkamah, artikel dalam akhbar berkenaan menyatakan bahawa Ramos mengaku bersalah melakukan gangguan jenayah terhadap seorang wanita.

Sementara itu, wartawan jenayah Capital Gazette, Phil Davis berkata, dia bersembunyi di bawah mejanya bersama kakita­ngan lain sehingga Ramos berhenti melepaskan tembakan.

“Bilik berita itu kelihatan se­perti zon perang. Saya tidak tahu kenapa dia berhenti me­nembak,” katanya kepada Baltimore Sun.

Anggota-anggota polis di ibu negeri Maryland, Annapolis tiba beberapa minit kemudian dan menahan suspek. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN