SRI AMAN – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 45, Jalan Bukit Begunan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, mangsa, Pang Siaw Ming, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Kuching.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu bertembung dengan lori jenis Hino di laluan bertentangan.
“Kesan rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori yang berusia 34 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anngota bomba dan penyelamat telah bertindak mengeluarkan mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan lanjut mendapati keadaan jalan di lokasi kejadian adalah berselekoh serta berbukit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – K! ONLINE










