KOTA KINABALU 31 Mei – Seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Iswara berdekatan kawasan tong sampah di Taman Cantik, Lido di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa, Chung Yew Foh, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi dan ditemukan oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, semasa pemeriksaan, mangsa ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap.
“Lelaki berkenaan memakai baju T berwarna kelabu dan seluar panjang berwarna coklat dijumpai dalam keadaan terbaring di dalam kenderaan tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1 di sini untuk proses bedah siasat,” katanya hari ini.
Chandra berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan tiada kesan kecederaan fizikal pada badan mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










