DUNGUN 28 Jun – Kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang selepas bertengkar dengan isteri akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan tergantung di sebatang pokok di dalam kawasan hutan di Kampung Serdang, dekat sini, petang semalam.
Mangsa yang berusia 34 tahun dikatakan keluar dari rumah pada 21 Jun lalu, namun selepas seminggu isterinya yang mulai bimbang tentang kemunginan buruk yang menimpa suaminya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah, kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Bertindak atas laporan, sepasukan empat anggota polis telah melakukan siasatan di sekitar kawasan terbabit kira-kira pukul 3 petang, dan bau busuk di kawasan hutan berkenaan memudahkan mayat mangsa dijejak.
Sementara itu isteri mangsa yang berusia 34 tahun ketika ditemui berkata, ketika hari kejadian suaminya meninggalkan rumah dengan menaiki sebuah van dan berpesan jika dia hilang agar mencarinya di hutan.
Sepasukan enam anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dipanggil ke lokasi kejadian untuk menurunkan mayat mangsa.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











