Latar belakang Tommy Thomas 'tidak mesra Islam' - Utusan Malaysia

Latar belakang Tommy Thomas ‘tidak mesra Islam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 3 Jun – Tommy Thomas yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan sebagai calon Peguam Negara mempunyai latar belakang tidak mesra Islam dan pelantikan beliau dikhuatiri bakal menimbulkan banyak konflik berkaitan undang-undang yang menyentuh prinsip-prinsip Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam bukunya yang bertajuk ‘Anything But The Law’ dan ‘Abuse Of Power’ pada 2016, Tommy tegar dengan hujah-hujah seperti Malaysia bukan negara Islam selain mempertikaikan keputusan perundangan yang memihak kepada Mahkamah Syariah apabila wujud konflik antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

Katanya, dalam buku ‘Abuse Of Power’, Tommy mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik dengan menyebut: “In an appeal where the central issue is a clash between Islam and Christianity, the judges ought to have been Hindus, Buddhists, atheists or agnostics. Alternatively, there should have been a delicate balance between judges of the Muslim, Christian and other faiths.”

“Dalam buku ‘Anything But The Law’ pula, beliau banyak menulis mengenai isu sensitif termasuklah mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng ditanam di Sitiawan, menyebut Chin Peng sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieh century” dan “a major contributor to Merdeka” serta menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara tidak mempunyai asas perlembagaan dan perundangan.

“Bagaimana Tommy, seorang bukan Islam, boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang Islam dengan betul dan tidak berkepentingan sedangkan banyak pandangannya mengenai undang-undang Islam yang tercatat di dalam buku-bukunya sebelum ini yang bersifat kritikal dan lebih banyak dipengaruhi oleh pegangan agama beliau sendiri?” katanya.

Menurut Annuar, Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’ dan pelantikan Tommy yang merupakan individu bukan Islam jelas tidak selari dengan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong yang berbunyi ‘Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’.

“Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri.’

“Melantik seorang yang bukan Islam untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sudah tentulah satu langkah yang tidak betul kerana seorang yang bukan Islam sudah tentulah tidak akan dapat membantu Yang di-Pertuan Agong ‘memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’ selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu membuat tindakan tepat apabila tidak memperkenankan pelantikan Tommy dan keputusan itu perlu dihormati selaras dengan Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini