SEBARANG langkah berani untuk melarang penjualan minuman keras atau bahan beralkohol di pasar raya dan kedai runcit dalam negara kita patut juga meliputi langkah berani bagi melarang penjualan rokok secara terbuka.
![]() |
|
GEJALA merokok dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah kian membimbangkan dan langkah proaktif harus diambil bagi mengekang gejala ini. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
|
Ini susulan langkah berani yang diambil sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Manjoi, Perak yang membantah penjualan minuman keras di kedai runcit Speedmart 99 pada 24 Mei lalu.
Dalam insiden tersebut, sekumpulan individu mendatangi cawangan kedai runcit itu dan meminta pekerjanya mengosongkan peti sejuk yang mengandungi minuman keras.
Persoalannya kini, kenapa tiada pihak yang berani mengambil langkah sama untuk menghalang penjualan rokok sedangkan rokok juga telah diisytiharkan haram sama seperti arak?
Agak sedih melihat segelintir masyarakat kita yang masih tidak segan silu untuk merokok secara terbuka. Lebih menyedihkan lagi kegiatan merokok ini kelihatan semakin menular dalam kalangan belia dan remaja negara kita.
Dalam kita memperjuangkan segala perkara yang jelas haram di sisi agama Islam, kita juga tidak boleh lupa memperjuangkan isu rokok yang telah lama diharamkan ketika Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995.
Rokok diharamkan kerana membawa bahaya kepada kesihatan diri perokok itu sendiri, menjejaskan kesihatan orang lain yang menghirup asap rokok serta membawa kepada pembaziran masa, tenaga dan wang.
Berdasarkan fatwa itu, jelas menunjukkan bahawa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan lebih 20 tahun lalu dan masih kekal sehingga sekarang.
Namun, ibarat mencurah air ke atas daun keladi masih ada dalam masyarakat kita yang dilihat merokok.
Adalah penting untuk semua pihak khususnya umat Islam mematuhi fatwa pengharaman rokok itu.
Oleh itu, ingin saya cadangkan kepada pihak berkuasa dalam negara kita supaya rokok juga tidak lagi dijual di mana-mana tempat secara terbuka seperti kedai-kedai runcit serta pasar terbuka di seluruh negara.
ORANG PERAK











