Langkah kanan Mat Sabu di pentas politik Malaysia - Utusan Malaysia

Langkah kanan Mat Sabu di pentas politik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TSUNAMI rakyat yang digambarkan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan gelombangnya membadai kuasa politik Barisan Nasional (BN) yang selama ini telah memerintah negara selama hampir 61 tahun.

Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya membantu gabungan pembangkang menewaskan musuh politik mereka yang selama ini tidak pernah dapat ditewaskan selama 13 kali pilihan raya umum sebelum ini.

Gabungan PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan dibantu Parti Warisan Sabah berjaya memenangi 121 kerusi daripada keseluruhan 222 Parlimen di seluruh negara.

Kuasa memilih yang diterjemah rakyat melalui kertas undi menyebabkan perubahan dalam landskap politik negara apabila beberapa nama besar yang awalnya diramalkan tidak berhadapan masalah besar untuk menang tetapi tewas mengejut dalam PRU yang berlangsung 9 Mei lalu.

Tsunami itu telah mengakibatkan nama-nama besar dalam kerajaan BN tewas seperti Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perubahan landskap politik selepas PRU-14 turut menyaksikan pemimpin-pemimpin yang dahulunya bergelar pembangkang ketika pemerintahan BN telah dilantik menjadi Menteri Kabinet dalam pemerintahan kerajaan PH pimpinan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri.

Paling mencuri tumpuan ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Sikapnya yang bersahaja dengan perwatakan yang sederhana membuatkan beliau popular di media sosial ketika hari pertama menjalankan tugasnya di kementeria tersebut.

Pada PRU-14 Mohamad tidak berhadapan masalah untuk memenanggi kerusi Parlimen Kota Raja di Selangor apabila menang selesa dengan majoriti sebanyak 71,142 undi.

Pada pertandingan di kerusi tersebut Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memperoleh sebanyak 90,697 undi menewaskan wakil BN, V. Gunalan (17,874 undi) dan calon Pas, Mohamed Diah Baharun (19,555 undi).

Layak

Menurut Setiausaha Agung Amanah, Mohd. Anuar Tahir, Mohamad sememangnya layak dilantik sebagai Menteri Pertahanan kerana keberaniannya dalam menyuarakan hak dan suara rakyat.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Kota Raja itu digelar sang pemberani dalam kalangan kenalan terdekat kerana kelantangan dan keberanian menyuarakan pendapat walaupun berhadapan dengan ancaman, serangan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

“Saya mengenali Mohamad sudah lama iaitu sekitar tahun 1971 ketika sama-sama belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara). Dia adalah junior saya setahun dan kami sama-sama aktif dalam gerakan aktivis mahasiswa.

“Dia tidak pernah berasa takut untuk memperjuangkan apa yang dirasakan benar dan baik untuk rakyat. Mohamad ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia juga pernah dibuang daerah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semata-mata menentang penindasan rakyat.

“Jika ditanya saya tentang kredibiliti Mohamad sebagai pemimpin, beliau layak dan berhak untuk diangkat sebagai pemimpin. Ketokohannya yang tidak pernah takut dan sifat tidak berputus asa tiada pada orang lain.

“Tiada siapa sangka pemimpin yang dahulunya pernah ditahan beberapa kali di bawah ISA kini menjadi pemimpin utama negara dengan memegang portfolio besar dalam keselamatan negara,” katanya kepada Jurnal! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, tanggapan pihak yang menyatakan Mohamad hanya menumpang populariti daripada parti dalam PH adalah tidak benar memandangkan gabungan mereka bersikap saling melengkapi.

Beliau berkata, sepanjang karier Mohamad terlibat dalam politik, banyak pengorbanan telah dilakukan untuk memperjuangkan rakyat sehingga beliau banyak kali terlibat dengan kes mahkamah.

Beliau berkata, kepimpinan Mohamad serta sokongan daripada parti membolehkan Amanah diterima rakyat apabila menang 10 daripada 27 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-14.

“Mohamad telah terlibat dalam PRU sejak 1982 lagi. Kali pertama ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti tetapi beliau tewas. Pada 1986 beliau sekali lagi tewas di Permatang Pauh menentang wakil BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi itu bukan penamat untuk Mohamad berkhidmat kepada rakyat.

Kerusi selamat

“Mohamad akhirnya menang dalam PRU 1990 di Parlimen Nilam Puri di Kelantan dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian (1995), Kuala Kedah (1999). Bagaimanapun, pada PRU 2004, 2008 dan 2013 beliau tidak menang.

“Walaupun ditohmah dengan pelbagai fitnah oleh pihak yang tidak menyukainya dengan gelaran ejen DAP, itu tidak mematahkan semangat Mohamad. Selain berani, Mohamad sangat berjiwa besar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, kemenangan Menteri Pertahanan itu di Kota Raja sudah dijangka memandangkan Parlimen tersebut adalah kerusi yang selamat untuk Mohamad.

Jelas beliau, Kota Raja dikategorikan kerusi selamat buat Mohamad memandangkan Parlimen itu sebelum ini disandang oleh wakil Amanah iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud selain faktor tsunami rakyat yang menyokong Mahathir yang mengetuai PH.

“Jika kita lihat pada keputusan PRU-14, tsunami rakyat yang membawa kemenangan PH kebanyakannya berlaku di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Perak. Secara kebetulan Mohamad bertanding di kawasan tsunami rakyat.

“Pada pandangan saya kemenangan Mohamad banyak disumbangkan faktor tsunami rakyat yang banyak dipengaruhi oleh Mahathir sebagai Pengerusi PH. Kota Raja juga sudah menjadi kubu kuat buat Amanah kerana ia kerusi disandang mereka sebelum ini sebagai wakil Pas pada PRU-13.

“Bagaimanapun, faktor meletakkan Mohamad di kerusi selamat tidak boleh dijadikan isu kerana ia strategi menaikkan moral parti. Pemimpin tertinggi mesti menang untuk memberi motivasi kepada penyokong mereka,” ujarnya.

Menurut Ummu Atiyah, kemenangan wakil Amanah termasuk Mohamad dalam PRU-14 banyak disumbangkan oleh faktor gabungan PH kerana parti serpihan Pas itu tidak mempunyai sokongan kuat dan jumlah ahli yang ramai.

“Ketika fasa PRU-14, pelbagai isu telah melanda Mohamad seperti serangan gambar beliau dengan skandal oleh musuh politik. Bagaimanapun, perkara itu tidak menggugat kemenangan beliau di Parlimen Kota Raja.

“Rakyat tidak mahu memikirkan soal serangan peribadi kerana mereka lebih mengutamakan fokus untuk menukar kerajaan BN yang dilanda isu 1Malaysia Development Bhd., Cukai Barang dan Perkhidmatan dan skandal rasuah,” katanya.

Idealisme

Bagi Menteri Kesihatan yang baharu, Dr. Dzulkefly Ahmad, Mohamad kekal mempunyai prinsip dan idealisme yang sama dari dahulu hingga kini walaupun melalui pelbagai pancaroba serta jatuh bangun dalam politik.

Ahli Parlimen Amanah di Kuala Selangor itu menjelaskan, Mohamad merupakan seorang yang fokus dalam memperjuangkan idealisme melaksanakan kerajaan yang bebas daripada kleptokrasi, mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Sejak terlibat dengan gerakan aktivis, Mohamad memang cukup terkenal dengan seorang yang lantang menyuarakan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan. Walaupun beliau ditolak oleh lawan dan kawan, itu tidak melemahkan perjuangannya.

“Saya yakin walaupun ada pihak tertentu yang mungkin tidak senang dengan pelantikan Mohamad sebagai Menteri Pertahanan, memandang sinis dan membuat jenaka terhadapnya, beliau mampu menggalas tugas itu atas faktor pengalaman.

“Lebih penting lagi analisis politik antarabangsa dan bacaan geopolitik yang ada pada Mohamad boleh membantu kementerian. Selain itu saya yakin beliau dapat banteras isu pemerolehan yang mungkin ada penyelewengan kerana itu yang diperjuangkannya,” tegas Dzulkefly.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mewakili Pas mengucapkan tahniah terhadap kejayaan yang diraih Presiden Amanah tersebut dalam PRU-14 sehingga terpilih sebagai ahli Kabinet kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata, beliau berharap Mohamad dapat memikul tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat dan Pas sentiasa menyokong mana-mana nilai yang benar serta menentang sekiranya bercanggah dengan ajaran Islam.

“Jatuh bangun dalam politik seperti yang dialami oleh Mat Sabu adalah lumrah bagi sesiapa yang terlibat dalam politik.

“Beliau sudah melalui semua itu dan orang lain turut melaluinya.

“Tuah Mat Sabu dapat dilihat selepas dia keluar daripada Pas dan menubuhkan Amanah sebelum menyertai PH. Dia berjaya menjadi Ahli Parlimen Kota Raja sehingga dilantik sebagai Menteri Pertahanan. Saya berharap dia jalankan amanah dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN