Laluan getir Portugal, Sepanyol - Utusan Malaysia

Laluan getir Portugal, Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENARIKNYA dalam Kumpulan B ialah dipenuhi ramai pemain bintang dan dianggap kumpulan paling mencabar pada Piala Dunia kali ini.

Kapten dan penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengetuai senarai, selain bintang muda Sepanyol, Isco dan perancang utama Barcelona, Andre Iniesta.

Ronaldo, 33, adalah penjaring terbaik dalam sejarah bola sepak Portugal dengan 81 gol daripada 149 penampilan.

Pemain Terbaik Dunia lima kali itu juga membantu negaranya muncul juara Eropah 2016, selain naib juara 2004.

Menampilkan barisan berpengalaman di samping jurulatih terbaik, Fernando Santos skuad Selecao menjadi pilihan untuk muncul juara kumpulan.

Begitupun, Sepanyol yang tidak pernah kalah sejak dibimbing oleh Julen Lopetegui pada 2016 perlu diberi perhatian.

Baik dalam aksi kelayakan mahu pun persahabatan, Sepanyol menang 13 daripada 18 perlawanan dan lima seri.

Ini memperlihatkan betapa skuad La Roja kali ini bersedia untuk muncul juara buat kali kedua selepas 2010.

Menerusi gandingan pemain berpengalaman (Iniesta, David Silva, Sergio Ramos, Gerard Pique, Sergio Busquets) dan pemain muda (Isco, David de Gea, Koke, Dani Carvajal, Rodrigo, Thiago Alcantara), Sepanyol mantap di semua posisi sehingga sukar untuk mencari kelemahan mereka.

Begitupun Iran yang turun dengan status pasukan No. 1 Asia bertandang ke Rusia dengan misi menumbangkan Portugal dan Sepanyol untuk melakar kejutan layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama.

Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Carlos Queiroz, skuad dengan jolokan Team Melli itu mahu menamatkan badi dalam penampilan kelima selepas gagal pada 1978, 1998, 2006 dan 2014.

Bintang serangan Sardar Azmoun, Alireza Jahanbakhsh dan Mehdi Taremi menjadi sandaran Iran, manakala Mortez Pouralighanji serta Saeid Ezatolahi mengetuai benteng.

Keupayaan Maghribi untuk turut mencabar dua kedudukan teratas iaitu slot ke pusingan kedua bagaimanapun tidak boleh dipandang mudah.

Walaupun berdepan undian sukar, skuad Singa Atlas Afrika yang dibimbing jurulatih dari Perancis, Herve Renard memiliki ramuan untuk melakar kejutan.

Nama-nama seperti Mbark Boussoufa, Hakim Ziyech dan Nordin Amrabat yang beraksi di Belanda mampu membentuk gandingan mantap bersama Younes Belhanda dan Mehdi Benatia (Perancis) serta pemain Real Madrid, Achraf Hakimi dan Karim El Ahmadi di Belgium.

Penampilan kelima Maghribi dalam Piala Dunia pasti berbeza kerana pengalaman lalu banyak mengajar mereka bagaimana hendak menentang Portugal dan Sepanyol.

Aksi Kumpulan B pasti dinantikan peminat untuk melihat dua pasukan underdog berdepan dua gergasi dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN